|
Judika gamatkan stadium dengan lagu Sejati
Konsert tiga jam di Axiata Arena malam tadi, menyaksikan Judika mendendangkan lebih 20 lagu. Foto Ihsan DAD Management
KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia, Judika menggamatkan Konsert Rockmantic Night Judika And The Gang di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam tadi, apabila menyanyikan tiga lagu dipopularkan artis Malaysia iaitu Cindai, Sejati dan Buih Jadi Permaidani.
Melalui persembahan itu, Judika bukan sahaja menunaikan janji mendendangkan lagu Melayu, malah, membuatkan lebih 12,000 penonton seperti diserang histeria apabila turut menyanyi dan menari bersama.
Judika atau nama sebenar, Judika Nalon Abadi Sihotang mengaku melodi ketiga-tiga lagu terbabit cukup dekat di hatinya.
"Sebenarnya, ada banyak lagu dari Malaysia yang menjadi kegemaran saya. Sebelum ini, saya pernah nyanyi lagu Isabella, Gerimis Mengundang dan Suci Dalam Debu.
"Jadi, saya sangat teringin nyanyi lagu yang belum pernah saya bawa di Malaysia.
"Selain sudah lama dengar, saya pilih lagu Sejati kerana saya suka Datuk Awie dan kumpulan Wings. Lagu Buih Jadi Permaidani dipilih kerana lagu itu sangat 'happening' di Indonesia, selain tertarik dengan melodinya.
"Biarpun lagu Cindai sangat mencabar daripada segi lirik yang banyak dan bertukar-tukar, tetapi, disebabkan suka, saya pilih untuk menyanyikan," katanya pada sidang media selepas konsert itu berakhir.
Bagi lagu Buih Jadi Permaidani yang judul asalnya adalah Mengintai Dari Tirai Kamar dipopularkan kumpulan Exists dan dirakam semula Hetty Koes Endang, Judika berpadu suara dengan Haqiem Rusli.
Haqiem menyanyikan lagu itu dalam versi Malaysia manakala Judika dalam versi Indonesia.
Selain Haqiem, konsert anjuran bersama Dua Anak Deo (DAD) Management dan Kharisma Music International ini turut menampilkan Shila Amzah dan Marsha Milan sebagai penyanyi undangan.
Turut ditampilkan adalah tiga bakat baharu dari Indonesia iaitu Dnanda, Daniel dan Axin yang juga artis di bawah pengurusan DAD Management.
Judika memilih lagu Cindai, Sejati dan Buih Jadi Permaidani untuk dipersembahkan pada Konsert Rockmantic Night Judika And The Gang di Axiata Arena, malam tadi. Foto Ihsan DAD Management
Konsert tiga jam itu menyaksikan Judika mendendangkan lebih 20 lagu antaranya Bukan Rayuan Gombal, Jadi Aku Sebentar Saja, Bagaimana Kalau Aku Tidak Baik Baik Saja, Jikalau Kau Cinta, Bukan Dia Tapi Aku, Mama Papa Larang, Aku Yang Tersakiti dan banyak lagi.
Persembahan malam itu diiringi oleh pemuzik orkestra di bawah pimpinan maestro muzik Indonesia, Tohpati.
Sumber:https://www.bharian.com.my/hibur ... -dengan-lagu-sejati
|
|