|
QABIL Irfan Azlan bersama trofi topi keledar juara dunia selepas menjuarai perlumbaan kelas 160cc di Valencia kelmarin. – ZK RACING
PETALING JAYA: Kejayaan Qabil Irfan Azlan merangkul gelaran dunia Perlumbaan Motosikal Siri Dunia FIM MiniGP bagi kelas 160cc di Valencia, kelmarin, bukan yang terakhir buat Malaysia.
Pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, pencapaian pelumba berusia 11 tahun itu adalah pertama buat negara dalam kelas dunia dan akan diteruskan masa hadapan.
“Alhamdulillah kita ada juara dunia dan harap ini bukan yang terakhir, sudah semestinya ia pencapaian yang menakjubkan.
“Ini kali pertama Malaysia menjadi juara dunia dalam perlumbaan motosikal, jadi, saya sangat gembira dapat bersama Qabil dan menjadi sebahagian daripada kejayaan pelumba itu,” katanya dalam satu kiriman video dari Valencia, semalam.
Kelmarin, Qabil dinobatkan selaku juara dunia selepas menyapu bersih kesemua tiga Perlumbaan 1, 2 dan Super Final bagi kelas 160cc dan dia memperbaiki pencapaian kedudukan keempat tahun lalu.
Zulfahmi yang juga bekas pelumba Moto2 serta Moto3 dan anak Malaysia pertama mencatat keputusan podium pada Kejuaraan Motosikal Dunia mengakui telah menyusun perancangan untuk Qabil.
“Saya bersyukur diberi peluang bersama Qabil untuk mencapai cita-citanya menjadi pelumba MotoGP.
“Sudah semestinya saya sudah punya perancangan untuk Qabil pada musim depan dan saya harus berbincang dengan banyak pihak,” ujarnya.
Menurut Zulfahmi, kejayaan Qabil diharap dapat meletakkan sukan pemotoran Malaysia ke satu tahap yang lebih baik.
Katanya, negara perlu melahirkan lebih ramai pelumba berbakat seperti Qabil dan sudah tentu sokongan berterusan daripada penaja seperti Litar Antarabangsa Sepang (SIC) serta Persatuan Sukan Pemotoran Malaysia (MAM) amat ditagih.
“Saya harap kita banyakkan lagi pelumba yang berbakat dan sudah semestinya saya harapkan sokongan daripada semua penaja, SIC, MAM supaya terus menyokong sukan pemotoran sebagai sukan yang penting di Malaysia,” tegasnya. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... bil-baru-permulaan/ |
|