|
ATIKAH (belakang) mendedahkan perancangan pasukannya untuk membawa masuk pelumba wanita bagi bersaingan dalam kategori Wira musim depan.
PEMILIK Tobaki Cilik Pink Racing Team (TCPRT), Nur Atikah Azwar, 28, mendedahkan bahawa pasukan itu sedang menyiapkan rancangan musim depan untuk kembali menampilkan pelumba wanita dalam pasukan itu.
Biarpun mengakui ia merupakan risiko besar yang terpaksa ditanggung oleh pasukan, beliau percaya perbezaan jantina bukanlah penghalang andai individu yang berkenaan mempunyai disiplin serta keazaman yang tinggi untuk bergelar pelumba walaupun seorang wanita.
Menurutnya, tidak ada pasukan perlumbaan di negara ini yang berani ‘melamar’ pelumba wanita atas beberapa alasan termasuk sukar untuk ‘dijaga’ berbanding pelumba lelaki selain boleh menyebabkan boleh berlakunya situasi ‘tidak harmoni’ dalam pasukan.
“Sebab itulah, sasaran kita (TCPRT) tahun depan, jika ada lebihan dana, kita bercadang untuk membuka satu kategori khusus mungkin melibatkan pelumba berusia 17 tahun iaitu dalam kategori Wira dan memfokuskan semua ‘lady bikers’ (pelumba wanita).
“Pada masa yang sama, kita juga berhasrat untuk meramaikan lagi kru serta mekanik wanita dalam pasukan sebagai sebahagian daripada usaha untuk menarik penyertaan daripada kalangan pelumba wanita itu sendiri,” katanya.
Mengulas lanjut, Ika berkata, dalam TCPRT ketika ini ketiga-tiga pelumbanya adalah lelaki manakala wanita ditempatkan di bahagian pentadbiran.
“Sebenarnya, sejak awal penubuhan pasukan dahulu (2021), kita ada dua pelumba wanita. Kemudian iaitu pada tahun kedua, seorang dan tahun ketiga ini tidak ada langsung pelumba wanita. Memang agak ‘struggle’ (bergelut) untuk dapatkan pelumba wanita ini.
“Jadi, kita perlukan lebih banyak sokongan termasuk daripada penganjur (kejohanan permotoran) itu sendiri untuk mencari pelumba wanita ini. Saya tahu mereka (pelumba wanita yang berpotensi) di luar sana itu ada tetapi mungkin mereka rasa takut atau tidak tahu macam mana nak sertai ‘racing’ (perlumbaan) ini,” ujar Ika.
https://www.kosmo.com.my/2023/11 ... -besar-musim-depan/ |
|