View: 8897|Reply: 0
|
Jijoe ikut nasihat doktor, tarik diri rebut gangsa pecut
[Copy link]
|
|
AZIZULHASNI menarik diri daripada penentuan pingat gangsa acara pecut selepas memenangi pingat emas keirin, semalam. FOTO ARKIB NSTP
Kuala Lumpur: Impian jaguh berbasikal pecut negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk meraih emas berganda di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Adelaide tidak kesampaian apabila dia tumpas di separuh akhir acara pecut dan tidak mengambil bahagian bagi penentuan pingat gangsa.
Selepas memulakan aksi kelayakan dengan sempurna apabila mencatat masa keempat terpantas 9.656 saat (s) dan tidak perlu mengerah kudrat di pusingan pertama, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu terpaksa akur dengan kehebatan pelumba Australia, Matthew Richardson apabila tumpas 0-2 di separuh akhir.
Sebelum mara ke separuh akhir Azizulhasni yang berusia 36 tahun tidak berdepan masalah mengalahkan Cristian Ortega dari Colombia di pusingan kedua, manakala di suku akhir dia mengetepikan jaguh Great Britain, Jack Carlin 2-0 di Adelaide Super-Drome.
"Dukacita saya terpaksa menarik diri daripada perlumbaan penentuan gangsa pecut kerana mengalami gejala perikarditis selepas perlumbaan separuh akhir.
"Saya berunding dengan doktor dan dinasihatkan untuk menarik diri daripada perlumbaan sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan tekanan jantung saya.
"Di sebalik cabaran, ia adalah hari yang produktif selepas perlumbaan keirin semalam dan saya memberikan yang terbaik dalam pecut hari ini.
"Saya berterima kasih atas sokongan dan keprihatinan semua orang dan saya memohon maaf kerana tidak dapat menyempurnakan perlumbaan.
"Kini, tumpuan saya adalah pada pemulihan dan saya akan menyambung semula latihan sebaik sahaja cergas semula. Terima kasih semua atas pemahaman dan dorongan anda," kata Azizulhasni.
Ini bermakna, peluang The Pocket Rocketman untuk menamatkan kemarau emas pecut yang belum pernah dimenanginya walaupun sejak kejohanan itu dikenali sebagai Siri Piala Dunia Klasik sebelum ditukar kepada Piala Negara-Negara bermula 2021.
Emas bagi acara berkenaan diraih Kaiya Ota dari Jepun selepas menumpaskan Richardson 2-1, manakala seorang lagi pelumba tuan rumah, Matthew Glaetzer diisytihar sebagai pemenang gangsa selepas penarikan diri Azizulhasni.
Bagaimanapun, emas keirin yang dirangkul pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu semalam sudah cukup membuktikan dia serius untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 dan cuba merealisasikan impian menggunung rakyat Malaysia agar dapat membawa pulang emas sulung temasya berkenaan.
Walaupun dihimpit masalah kesihatan, juara dunia 2017 itu tidak menunjukkan dia sedang 'sakit', malah memberikan 'kesakitan' kepada pelumba lain seperti yang dapat disaksikan di final keirin, semalam.
Ia adalah emas keenam dalam acara kegemarannya itu di kejohanan berkenaan sejak kali pertama merangkulnya pada 2008 (Melbourne) diikuti pada 2009 (Beijing), 2010 (Beijing) 2010 (Cali) dan 2019 (Cambridge, New Zealand).
Penyertaan Azizulhasni di Adelaide akan dipantau rapi selepas dia perlu mengambil ubat perikarditis - ubatan yang berkaitan dengan jantungnya sejak beberapa minggu lalu.
Perikarditis adalah keradangan perikardium dan boleh menyebabkan cecair berkumpul di dalam karung perikardium.
Cecair yang berlebihan itu boleh mengakibatkan tamponad kardium dengan menghalang jantung daripada berdegup dengan betul atau menekan pembuluh jantung secara fizikal.
Pada April 2022, Azizulhasni terpaksa menjalani pembedahan jantung terbuka susulan disahkan mengalami masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA) di Hospital Epworth Richmond, Melbourne.
Sementara itu, seorang lagi pelumba lelaki negara, Shah Firdaus Sahrom terkandas di kelayakan dan gagal mara ke pusingan pertama apabila mencatat masa ke-32 terpantas (10.150s) daripada 37 pelumba.
Dua pelumba wanita negara pula, Anis Amira Rosidi dan Nurul Izzah Izzati Asri sekadar menamatkan saingan keirin di pusingan repechage.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... -rebut-gangsa-pecut |
|
|
|
|
|
|
| |
|