View: 10724|Reply: 0
|
Hanya 3 pasukan M3 mohon, Perlis tidak dijemput
[Copy link]
|
|
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan hanya tiga pasukan dari Liga M3 yang berjaya mengemukakan permohonan sehingga tarikh akhir bagi lesen luar biasa untuk menyertai saingan Liga Super musim 2024/25.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan tiga pasukan itu adalah tiga pasukan teratas Liga M3 2023 iaitu juara, Imigresen FC, naib juara, KL Rovers dan pasukan di tangga ketiga, Harini.
Bagaimanapun, Stuart turut menyatakan badan pengendali liga itu tidak menjemput mana-mana pasukan termasuklah Perlis United FC (PUFC) untuk menyertai kancah elit bola sepak domestik itu bagi musim baharu nanti.
"Tiga pasukan terbabit mengemukakan permohonan sehingga tarikh akhir. Tetapi Perlis United memohon tempoh lanjutan dan sudahpun mengemukakan dokumen kepada MFL pada awal minggu ini.
"Kini keputusan di tangan First Instance Body (FIB) untuk meneliti dan menerima segala dokumen yang sudahpun dikemukakan itu," kata Stuart.
Terdahulu, BH Sukan melaporkan PUFC yang berpengkalan di Kangar itu dijangka akan membawa panji negeri Perlis bagi saingan Liga Super musim ini selepas dikatakan mendapat tawaran untuk mengisi slot negeri ke liga berprestij itu.
Exco Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan Negeri Perlis, Wan Zikri Afthar Ishak berkata, disebabkan perkara itu, pihaknya menyokong usaha PUFC dari pelbagai sudut sekiranya kelab itu berkemampuan untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi seperti Liga Super.
Sebelum ini, MFL memberi peluang kepada pasukan Liga M3 untuk menghantar kembali permohonan lesen luar biasa bagi menyertai Liga Super musim 2024/2025.
Menerusi kenyataan rasmi di Facebook MFL, mereka terpaksa melakukan perkara itu selepas mengambil kira FIB dan Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) yang menolak permohonan Lesen Kebangsaan Kelantan FC untuk bertanding dalam Liga Super 2024/25.
"Ketiadaan Kelantan FC menyaksikan kekosongan slot ke-14 bagi saingan Liga Super musim ini.
"Justeru MFL meminta semua kelab M3 yang berminat untuk mengemukakan permohonan lesen luar biasa ini pada 18 Januari 2024 dan proses penyerahan semua dokumen menerusi AFC CLAS akan bermula 19 Januari 2024 hingga 2 Februari 2024," kata MFL.
https://www.bharian.com.my/sukan ... rlis-tidak-dijemput |
|
|
|
|
|
|
| |
|