CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 5748|Reply: 1

[Wilayah Persekutuan] Polis rampas RM7.6 juta dadah dalam tiga kondo mewah

[Copy link]
Post time 21-2-2024 04:54 PM | Show all posts |Read mode

Pengarah Jabatan Siasatan (kiri) Jenayah Narkotik, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din bersama pegawainya menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas bernilai RM7.6 juta pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras. NSTP/Hazreen Mohamad

KUALA LUMPUR: Satu sindiket dikesan menyewa tiga kondominium mewah dengan kawalan ketat untuk menyimpan stok dadah yang diseludup masuk dari negara jiran sebelum diedarkan di sekitar Lembah Klang serta ke Sabah dan Sarawak.

Modus operandi sindiket itu berjaya dibongkar hasil risikan dan siasatan sebelum dua serbuan berasingan dijalankan di tiga kondominium terbabit yang terletak di sekitar Cheras, pada 14 Februari lalu.

Menerusi serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu, polis merampas lebih 182 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM7.6 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din, berkata menerusi serbuan itu, polis turut menahan dua lelaki tempatan, masing-masing berusia 26 dan 41 tahun.



Katanya, rampasan dadah terdiri daripada 134.87kg syabu, pil erimin 5 (8.25kg), pil ekstasi (25.54kg), ketamin (8.26kg) dan serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 6.05kg.

"Menerusi serbuan itu juga, kami menemui satu pistol tiruan jenis 'airsoft' bersama dua kelopak peluru, selain rampasan dua kereta Mercedes Benz E350 dan Hyundai Sonata serta satu jam, dengan nilai rampasan RM163,300.

"Siasatan mendapati seorang suspek berperanan sebagai dalang utama dan koordinator manakala seorang lagi suspek dipercayai berperanan sebagai penjaga stor dadah serta 'runner' (penghantar dadah).

"Ketika serbuan di sebuah kondominium, seorang daripada suspek sedang membungkus dadah yang dipercayai untuk dihantar ke Sabah dan Sarawak," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, siasatan mendapati sindiket ini dipercayai mula aktif sejak pertengahan tahun lalu dan modus operandi yang digunakan adalah menjadikan kondominium mewah sebagai stor simpanan dadah.

"Seterusnya dadah ini akan diedarkan di pasaran sekitar Lembah Klang termasuk pusat-pusat hiburan selain ke Sabah dan Sarawak.

"Siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan khidmat syarikat kurier untuk menghantar dadah ke Sabah dan Sarawak. Kami masih menyiasat lanjut modus operandi dan syarikat kurier yang digunakan," katanya.

Dalam pada itu, katanya sindiket ini menyewa tiga kondominium mewah kosong dengan sewa RM2,500 sebulan dan memilih kondominium yang mempunyai sistem kawalan ketat bagi menyukarkan pemeriksaan pihak berkuasa.

"Melalui bungkusan dadah itu, kami percaya bekalan dadah ini diperoleh daripada Myanmar dan dibawa masuk melalui Thailand.

"Dadah ini seterusnya kami percaya diseludup masuk ke Malaysia dengan menggunakan jalan darat, sama ada melalui pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam atau Sungai Golok, Kelantan," katanya.

Mengenai dua suspek yang ditahan, seorang daripadanya dikesan mempunyai 22 rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah, manakala ujian saringan air kencing menunjukkan kedua-duanya negatif.

"Kedua-dua suspek kini direman tujuh hari bermula 15 Februari hingga hari ini dan disambung reman tujuh hari lagi bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan selain mengesan saki baki ahli serta rangkaian sindiket ini," katanya.

Tambah beliau, jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh kira-kira 850,000 penagih.
https://www.bharian.com.my/berit ... am-tiga-kondo-mewah
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 21-2-2024 05:11 PM | Show all posts
len mcm polis skrg...dasat...hebat...
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

26-5-2024 05:49 PM GMT+8 , Processed in 0.063512 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list