CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 6363|Reply: 0

[Kedah] Jam paling berharga

[Copy link]
Post time 5-3-2024 08:02 AM | Show all posts |Read mode
Jam paling berharga


Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my



JAM yang dibeli Munirah untuk dihadiahkan kepada suaminya, Idrus. FOTO Ihsan Nor Amira Idrus




Sungai Petani: "Abah tak pernah minta belikan jam tangan walaupun dia teringin sangat. Akhirnya hajat abah tercapai, cuma yang sedih apabila pemberinya iaitu emak sudah meninggal dunia."

Begitu luah Nor Amira Idrus, 33, mengenai kisah ibunya, Munirah Abu Hassan yang meninggal dunia di Madinah, Arab Saudi pada 12 Februari lalu tanpa sempat pulang ke tanah air serta menghadiahkan sendiri jam tangan itu kepada bapanya Idrus Abd Wahab, 58.

Nor Amira, 33, berkata ibunya meninggal dunia ketika diintubasi di Hospital King Fahd, Madinah selepas mengalami demam dan sesak nafas hingga bacaan oksigen menurun.

Menurutnya, jenazah ibunya kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Baqi' bersebelahan Masjid Nabawi.

Berkongsi kisah sedih itu, Nor Amira berkata, jam tangan berkenaan dibeli ibunya ketika di Tanah Suci dengan niat sebagai hadiah sempena ulang tahun kelahiran bapanya yang jatuh pada 6 Februari lalu.

Menurutnya, kira-kira 12 tahun lalu, abahnya ada membeli jam tangan ketika mengerjakan umrah, tetapi hilang di Makkah.

"Hanya baki potongan tali jam tangan itu sahaja yang dibawa pulang ke tanah air dan masih disimpan sehingga sekarang.

"Sejak itu, abah kerap kali sebut mengenai jam tangan itu kerana terlalu sayang Masa emak nak pergi umrah, emak minta dengan abah tali jam itu.

"Rupanya, emak nak belikan jam tangan untuk abah di sana (Tanah Suci), namun tak sempat beri sendiri kepada abah. Tapi terharu dan sedih kerana jam tangan yang emak belikan lebih kurang sama dengan jam tangannya yang hilang dahulu," katanya ketika dihubungi, semalam.


JENAZAH Munirah dibawa ke tanah perkuburan. FOTO Ihsan Nor Amira Idrus
Bercerita lanjut, Nor Amira berkata, dia sekeluarga juga terkejut selepas mendapat berita pemergian ibunya pada 12 Februari lalu.

Katanya, ini kerana ibunya dalam keadaan sihat sebelum berangkat ke Tanah Suci dengan ditemani adik kedua Noor Adila, 31, dan adik bongsu Nur Ainida, 22, serta dua ibu saudaranya.

"Abah tak ikut sama kerana pernah pergi sebelum ini dan nak kumpul duit untuk mengerjakan haji selain ada tuntutan kerja sebagai tok mudim sempena musim cuti sekolah.

"Pada 2 Februari lalu, kami sekeluarga sempat menyambut ulang tahun kelahiran abah yang jatuh pada 6 Februari kerana sebelah malamnya, emak nak berangkat ke Tanah Suci," katanya.

Katanya, sebelum bertolak ke lapangan terbang, abah mengimamkan solat Maghrib berjemaah di rumah.

"Saya dapat tengok momen emak berpelukan serta meminta maaf dengan abah selepas solat.

"Di lapangan terbang pula, emak seolah-olah tak mahu melepaskan tangan saya sewaktu bersalam sampai saya peluknya dua kali ketika itu.

"Waktu itu, emak sempat meminta saya mendoakan kesihatannya. Tak sangka itu pelukan terakhir kami dan sepatutnya 18 Februari lalu adalah majlis kenduri kesyukuran selepas emak pulang mengerjakan umrah tapi jadi majlis tahlil untuknya," katanya.


IDRUS merenung bagasi milik isterinya, Munirah yang meninggal dunia di Tanah Suci. FOTO Ihsan Nor Amira Idrus
Nor Amira berkata, dia reda dengan ketentuanNya, namun tidak mungkin melupakan kenangan dengan ibunya terutama menjelang Ramadan tidak lama lagi.

"Antara yang tak dapat saya lupakan adalah mesej terakhir emak pada 5 Februari lalu. Emak beritahu dia gembira sangat kerana dapat cium dan pegang Kaabah dengan kedua-dua belah tangannya.

"Emak pun dapat tunaikan umrah hingga selesai, malah dapat saie dan buat pusingan tawaf tujuh kali dengan kakinya sendiri sambil berdoa seperti yang dihajatkan.

"Syukur rasanya dan niat saya kongsi kisah emak di TikTok untuk jadikan kenangan dan gembira apabila ramai sangat yang mendoakan," katanya.



Disiarkan pada: Mac 5, 2024 @ 7:10am








Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

17-6-2024 10:04 PM GMT+8 , Processed in 0.058818 second(s), 32 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list