|
NELLA Dewi mengisi makanan ke dalam Mesin Layan Diri IPR di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau.
Rembau: Ibarat durian runtuh. Itu dirasai seorang suri rumah di sini apabila mampu meraih pendapatan RM2,000 hanya dalam tempoh 15 hari menyertai program perniagaan mesin layan diri di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) kategori Inisiatif Usahawan Makanan (Insan).
Nella Dewi Hendrik Sapoan, 28, yang menyertai program itu sejak Januari lalu berkata, dia mendapat tahu mengenainya melalui rakan sebelum membuat permohonan pada Mac 2023 bagi menambah pendapatan keluarga.
"Ketika itu, program ini belum tersebar luas, saya berminat untuk mohon, saya cari maklumat dalam laman sesawang, permohonan saya diluluskan pada Jun. Sebelum ini, saya jual makanan, tapi secara sambilan dengan pendapatan tak menentu. Tak sangka saya dapat 'gaji' lumayan sertai IPR," katanya.
Ibu tiga anak itu berkata, mesin layan diri kendaliannya itu diletakkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau dan pada awalnya, jualan perlahan kerana pelajar belum tahu kewujudan mesin layan diri yang menjual pelbagai makanan itu.
"Pelajar ada kelas pagi, saya hantar makanan tengah hari. Tetapi, selepas seminggu sambutan memang hangat, kalau makanan habis mereka hubungi saya untuk tambah. Alhamdulillah, boleh bantu tingkat pendapatan keluarga dan suami yang bekerja sebagai penghantar barangan," katanya.
Nella Dewi yang turut mempunyai sijil dalam bidang pengendalian makanan berkata nasi lemak, spageti, sandwic dan buah antara dijual menerusi mesin layan diri itu berharga RM2 hingga RM5, yang semua dimasak sendiri.
"Bagi saya, program ini sangat membantu terutama kepada suri rumah, saya boleh memasak sambil jaga anak di rumah. Kaedah ini juga menjimatkan masa dan mudah.
"Saya hanya isi makanan ke dalam mesin layan diri itu setiap dua kali sehari dan memantau stok menerusi aplikasi khas," katanya.
Seorang lagi peserta IPR yang mengendalikan mesin layan diri itu di kampus sama, Siti Zauyah Zakariah, 50, berkata, sudah empat bulan dia menyertai program itu dan berharap ia diteruskan pada masa akan datang kerana memberi manfaat kepada golongan kurang berkemampuan terutama ibu tunggal sepertinya untuk menambah pendapatan.
"Mak cik dapat tahu program ini dalam berita dan beritahu anak yang mak cik ingin memohon.
"Kemudian ada pegawai pejabat daerah datang ke rumah cakap mak cik dapat mesin layan diri. Kami diberi kursus mengendalikan mesin, anak banyak tolong sebab mak cik kurang mahir. Pendapatan hampir RM1,000 sebulan," katanya.
Ibu sembilan anak yang kematian suami empat tahun lalu berkata, dia menghantar makanan seperti bihun goreng, nasi goreng, nasi berlauk, salad dan bebola ke mesin layan diri itu tiga kali sehari dan sentiasa mendapat sambutan pelajar.
"Dalam masa beberapa jam sahaja habis, ada pelajar telefon minta mak cik tambah makanan. Ada pegawai berkaitan yang memantau kualiti dan kebersihan. Kalau ada masalah pada mesin, mak cik terus lapor," katanya yang menambah program itu benar-benar membantu ekonomi keluarganya.
Pelajar semester tiga jurusan perniagaan dan pengurusan di UiTM berkenaan Nur Airin Aziri, 20, berkata, mesin layan diri memudahkan dia dan pelajar lain sekiranya berasa lapar selepas mengulang kaji pada waktu malam, selain menjimatkan masa kerana tidak perlu ke kedai di luar membeli makanan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -dalam-masa-15-hari |
|