CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 7346|Reply: 0

[Sarawak] Beri penghormatan kepada Mutang sebelum fikirkan pengganti

[Copy link]
Post time 12-5-2024 07:15 PM | Show all posts |Read mode
Demikian kata Premier ketika ditanya sama ada beliau berunding dengan PM berhubung perkara itu



Abang Johari dan isteri memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Mutang sambil disertai Awang Tengah (lima kanan) dan Dr Sim (dua kanan) di Miri hari ini. - Gambar UKAS

"Tidak... kita akan memberi penghormatan dahulu kepada mendiang Senator (Datuk) Mutang Tagal. Selepas selesai ini barulah kita berunding mengenai jawatan tersebut."

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg
Premier Sarawak

Oleh Clare Cinderella dan Mohd Aliff Idzwan

MIRI: Sarawak memberi penghormatan sepenuhnya terlebih dahulu kepada mendiang Senator Datuk Mutang Tagal sebelum memikirkan sebarang rundingan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pengganti beliau.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika ditanya pemberita di sini hari ini, sama ada beliau mengadakan rundingan dengan Perdana Menteri berhubung perkara tersebut, beliau berkata akan memikirkannya selepas semuanya selesai (majlis penghormatan dan pengebumian mendiang).

"Tidak... kita akan memberi penghormatan dahulu kepada mendiang Senator (Datuk) Mutang Tagal. Selepas selesai ini barulah kita berunding mengenai jawatan tersebut," katanya.

Terdahulu, beliau memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Senator Datuk Mutang Tagal di Gereja BEM, Jalan Airport di sini hari ini.

Turut mengiringi beliau ialah isterinya, Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang, kedua-dua Timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Mengenai usaha Kerajaan Sarawak memainkan peranan menerbangkan mendiang pulang dari Azerbaijan ke Kuala Lumpur, Abang Johari berkata ia adalah hasrat keluarganya untuk membawa beliau pulang dan mendapatkan rawatan di tanah air sendiri.

"Maka, Kerajaan Sarawak menghantarkan 'ambulance jet' membawa pulang mendiang dan pada masa sama, Kerajaan Azerbaijan menerusinya presidennya juga menawarkan penerbangan untuk menghantar beliau pulang ke tanah air.  

"Kapal terbang kita mengambil masa untuk terbang ke Baku tetapi oleh sebab Kerajaan Azerbaijan juga menawarkan jet presiden mereka dari Azerbaijan untuk membawa pulang mendiang pulang ke Malaysia, jadi dua-dua kemudahan kita guna pakai," jelasnya.

Abang Johari mewakili Kerajaan Sarawak menzahirkan rasa simpati dengan kehilangan seorang tokoh anak Sarawak yang telah banyak berjasa kepada negeri ini dan Malaysia.

"Kita tahu mendiang Datuk Mutang Tagal adalah orang pertama dari suku kaum Lun Bawang dalam kumpulan masyarakat Dayak diberi kepercayaan menjadi Yang Dipertua Dewan Negara.

"Bagi kita, mengenali mendiang Datuk Mutang Tagal pada awal 80-an semasa beliau menjadi seorang Ahli Parlimen pada 1982, menjadi wakil rakyat menjaga seluruh kawasan Limbang. Ketika itu, konstituensi dijaga beliau adalah Lawas dan Limbang termasuk Bario," katanya.  

Mengimbau pengorbanan mendiang, Abang Johari berkata dalam masa dua penggal, beliau telah banyak berjasa bukan sahaja untuk kawasan beliau tetapi juga sebagai wakil Sarawak di Dewan Rakyat.

"Beliau juga adalah seorang pemimpin kanan dalam PBB. Walaupun tidak lagi menjadi wakil rakyat tetapi beliau terus menyumbang ke arah pemantapan PBB dan akhir-akhir ini dalam GPS.

"Sebab itu, apabila Tun Pehin Sri Wan Junaidi menjadi TYT Sarawak maka kami dalam GPS selepas saya berbincang dengan pemimpin kita mencadang kepada Perdana Menteri supaya beliau (Mutang) dicalonkan menggantikan Tun Wan Junaidi sebagai Yang Dipertua Dewan Negara," jelasnya.

Abang Johari berkata, sayangnya mendiang hanya sempat berkhidmat dalam masa agak pendek dan mereka cuba menyelamatkan beliau dengan membawa pulang terus ke tanah air. Bagaimanapun, Tuhan lebih menyayanginya.

Mendiang Mutang menghembuskan nafas terakhir jam 11.46 pagi Jumaat lalu di Institut Jantung Negara (IJN) pada usia 70 tahun.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-6-2024 03:46 AM GMT+8 , Processed in 0.155615 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list