|
AIR akibat hujan ribut memasuki Stadium Old Trafford, Manchester semalam. - Foto Getty Images
LONDON – Satu rakaman video menunjukkan air akibat hujan lebat mencurah masuk dari bumbung Old Trafford ketika peminat kelab bola sepak Manchester United (MU) masih berada dalam stadium itu semalam, lapor portal berita Manchester Evening News.
Beberapa peminat dilihat duduk di atas palang tempat duduk untuk mengelakkan kaki mereka basah semasa air memasuki stadium tersebut menjelang penghujung perlawanan menentang Arsenal dalam Liga Perdana Inggeris semalam.
Lebih malang ketika kejadian itu, MU kalah kepada Arsenal dengan keputusan 1-0.
Bumbung Old Trafford bocor selama 10 tahun tetapi video air hujan mencurah ke tempat duduk penonton memberi petunjuk tentang betapa usangnya stadium itu yang suatu ketika dahulu menjadi kebanggaan peminat MU.
Pemegang tiket bermusim, Jason McKey, 54 dari Salford memuat naik rakaman video kejadian itu yang menyaksikan sebilangan penonton cuba mengelak daripada terkena air hujan.
Dia menyalahkan keluarga Glazer iaitu pemilik terbesar kelab MU dan berkata: “Kemerosotan sekali lagi jelas, 18 tahun pengabaian sepenuhnya,
“Pemilik (MU) harus malu dengan semua wang yang mereka telah keluarkan daripada kelab kami. Namun, kita semua tahu mereka tidak peduli tentang kelab ini,” katanya. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/05 ... -united-pula-bocor/
|
|