|
KELANTAN FC mungkin terpaksa lupakan saingan Liga A1 Semi Pro jika gagal daftar pemain dalam tempoh ditetapkan.
Kelana Jaya: Kelantan FC mungkin boleh bersiap sedia mengucapkan selamat tinggal kepada arena bola sepak tempatan apabila pasukan terbabit hanya diberikan tempoh tidak sampai 24 jam untuk mendaftar pemain bagi saingan Liga A1 Semi Pro musim ini.
Ini kerana pasukan berpangkalan di timur tanah air itu sehingga kini gagal mendaftar 20 pemain walaupun tarikh akhir berbuat demikian dilanjutkan sehingga esok.
Ketua Pegawai Operasi AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad berkata, skuad The Red Warriors sudah diberikan 'talian hayat' terakhir memandangkan tarikh awal yang ditetapkan sebelum ini pada 8 Mei lepas.
Menurut Raimi, pengurusan Kelantan memohon untuk melanjutkan tarikh pendaftaran sehingga penghujung Mei namun pihaknya hanya mampu memberikan tarikh akhir esok seperti pasukan lain.
"Kelantan sepatutnya membuat pendaftaran awal pada 8 Mei lalu tetapi mereka minta penangguhan atas beberapa kekangan yang dihadapi dan kami berikan sehingga 14 Mei (esok).
"Buat masa ini, kita masih kekal dengan 16 pasukan tetapi apa yang bakal berlaku esok atau lusa saya tidak pasti (sama ada mereka berjaya atau sebaliknya).
"Kita tidak mempunyai masalah jika saingan Liga A1 Semi Pro dilangsungkan dengan 15 pasukan pada musim ini memandangkan saingan liga pun akan bermula tiga minggu lagi," katanya ketika ditemui di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini, sebentar tadi.
Terdahulu, AFL mengesahkan Kelantan FC kekal di peta bola sepak negara apabila bakal menyahut cabaran dalam kalangan 16 kelab lain pada musim ini.
Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, keputusan itu disahkan dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah AFL yang berlangsung secara atas talian.
Mengikut rekod, Kelantan FC sebelum ini dilapor dikenakan sekatan perpindahan pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) membabitkan isu tunggakan gaji.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... untuk-daftar-pemain |
|