View: 5094|Reply: 0
|
Mickey idam nasi kandar, sudah pindah ke wad biasa
[Copy link]
|
|
Faisal Halim sudah dipindahkan dari ICU ke wad biasa.
SHAH ALAM: Pemain sayap Selangor FC (SFC), Faisal Halim sudah memiliki selera makan apabila dia mengidam untuk makan nasi kandar selepas menunjukkan perkembangan positif hasil pembedahan ketiga, Khamis lalu.
Perkembangan itu dikongsikan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal SFC, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang mengesahkan pemain itu terus berada dalam keadaan stabil dan Shahril sentiasa berhubung dengan pemain itu menggunakan nota suara (voice note).
"Percakapannya sudah semakin jelas dan itu yang paling penting. Selera makannya juga bertambah kerana bukan sahaja dia setakat boleh makan diet lembut tetapi sudah boleh mengambil makanan biasa.
"Saya sentiasa menghubunginya dengan nota suara. Saya dengar dia cuba teringin nak makan nasi kandar dan sebagainya," kata Shahril ketika ditemui di pekarangan sebuah hospital swasta di sini, sebentar tadi.
Dalam perkembangan sama, Shahril turut memaklumkan pemain yang mesra disapa 'Mickey' itu sudah dipindahkan ke wad biasa daripada Unit Rawatan Rapi (ICU) namun masih tidak dibenarkan lawatan untuk mana-mana pihak.
"Pelawat masih tidak dibenarkan kerana keadaan masih agak sensitif tetapi Faisal berada dalam keadaan stabil. Doktor akan terus memantau keadaannya dan prosedur seterusnya dijangka berlangsung pada minggu depan.
"Prosedur 'skin allograft' berjalan dengan lancar dan dia memberi reaksi yang baik selepas prosedur terbabit. Jadi kita akan teruskan dengan prosedur seterusnya.
"Bagi prosedur seterusnya, dia akan menjalani prosedur 'homograft' iaitu menggunakan kulit daripada bahagian yang lain untuk ditampal di bahagian yang mengalami kecederaan.
"Berapa lama Faisal akan berada di hospital, paling kurang pun dua minggu," katanya.
Terdahulu, pemain yang dinobatkan sebagai Penjaring Gol Terbaik Piala Asia itu cedera selepas disimbah asid dipercayai oleh dua individu bermotosikal di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya kira-kira jam 5 petang, 5 Mei lalu.
Tonggak utama Selangor FC itu disahkan mengalami kecederaan melecur tahap empat di beberapa bahagian di tubuhnya.
https://www.bharian.com.my/sukan ... pindah-ke-wad-biasa |
|
|
|
|
|
|
| |
|