|
PENYOKONG Spurs yang menyaksikan perlawanan membabitkan pasukan mereka. FOTO REUTERS
London: Bos Tottenham, Ange Postecoglou berkata, asas yang dibinanya di kelab itu 'rapuh' selepas penyokong mereka dilihat gembira tewas 0-2 kepada Manchester City, yang mungkin menyekat seteru utara London, Arsenal daripada memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).
Peluang Spurs untuk layak ke Liga Juara-Juara berakhir dengan dua gol Erling Haaland pada separuh masa kedua sekali gus menyaksikan City kembali ke puncak liga, dua mata di hadapan Arsenal menjelang perlawanan terakhir, Ahad ini.
Postecoglou menolak pandangan pada malam sebelum perlawanan bahawa penyokong Tottenham sendiri mahu pasukan mereka kalah jika ia dapat menafikan gelaran pertama The Gunners dalam tempoh 20 tahun.
"Saya rasa 48 jam yang lalu telah mendedahkan kepada saya asas kelab ini agak rapuh. Itulah perkara yang saya perlu kembali kaji," kata Postecoglou.
Bekas bos Celtic itu ditanya lagi sama ada kekecewaannya ditujukan kepada penyokong atau individu di dalam kelab.
"(Saya) tidak peduli. Di luar, di dalam, di mana-mana sahaja. Saya mungkin tersalah membaca situasi untuk memahami apa yang diperlukan bagi membentuk pasukan mampu menang," katanya.
Tottenham sering menjaringkan gol lewat pada musim ini, termasuk ketika seri 3-3 menentang City di Etihad pada awal musim.
Spurs mempunyai peluang untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata, terutamanya apabila Son Heung-min gagal ketika berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol City, Stefan Ortega pada minit-minit terakhir perlawanan.
Tetapi tidak ada tanda-tanda sokongan padu daripada penyokong yang seolah-olah rela jika juara bertahan, City memenangi perlawanan itu.
"Sudah tentu ia (memberi kesan). Itulah situasinya," kata Postecoglou mengenai sikap penyokong.
"Saya tidak boleh menentukan apa yang orang mahu lakukan. Ya, apabila kami mendapat gol lewat permainan, ia adalah kerana sokongan padu penyokong.
"Apa yang dalam fikiran penyokong tidak menarik minat saya. Saya tahu apa yang kami perlukan untuk membina pasukan yang menang dan itulah yang saya tumpukan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... ttenham-postecoglou |
|