|
ALEXANDER-ARNOLD bakal menjadi sasaran Real sekiranya dia tidak melanjutkan kontrak bersama Liverpool. - AFP
MADRID – Pakar perpindahan Eropah, Fabrizio Romano mendedahkan juara Sepanyol, Real Madrid berminat untuk menandatangani bintang pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold musim depan.
Romano mendakwa Los Blancos mahu memanfaatkan situasi kontrak pertahanan kanan berusia 25 tahun itu yang akan berakhir tahun depan, namun ketika ini masih tiada rundingan dengan pihak Liverpool untuk melanjutkan perjanjiannya.
Berdasarkan spekulasi yang bertiup kencang ketika ini, Alexander-Arnold dan dua lagi tonggak The Reds iaitu kapten, Virgil Van Dijk dan penyerang prolifik Mesir, Mohamed Salah berkemungkinan besar berhijrah menyertai pasukan lain.
Ia susulan keputusan pengurus pasukan itu, Jurgen Klopp yang akan meninggalkan posisinya penghujung musim ini dan kekosongan tersebut telah pun diisi oleh jurulatih Feyenoord dari Belanda, Arne Slot.
Difahamkan, finalis Liga Juara-Juara Eropah musim ini itu merasakan Alexander-Arnold akan menjadikan pasukan itu sempurna dari setiap posisi, apatah lagi dengan kehadiran Kylian Mbappe dari Paris Saint-Germain secara percuma musim depan.
“Real sangat mengemari Trent (Alexander-Arnold). Mereka akan cuba sedaya upaya untuk menandatanganinya jika dia tidak mahu melanjutkan kontraknya bersama Liverpool.
“Buat masa ini Real sedang memantau situasi semasa di Liverpool. Tiada rundingan rasmi diadakan bersama ejen pemain itu kerana mereka merasakan sekarang masih terlalu awal.
“Kita tunggu dan lihat langkah seterusnya. Berdasarkan pemahaman saya, Real benar-benar mahukan Alexander-Arnold,” kata Romano. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/05 ... -bintang-liverpool/ |
|