|
LEVERKUSEN hanya memerlukan satu lagi keputusan tanpa kalah untuk mencipta sejarah meraih gelaran ‘invincibles’ musim ini. - AFP
AUGSBURG – Jurulatih Augsburg, Jess Thorup sedia untuk menyekat hajat juara Bundesliga, Bayer Leverkusen untuk menamatkan saingan liga dengan rekod tanpa kalah menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di BayArena malam ini.
Memandangkan pertemuan itu merupakan aksi terakhir Bundesliga musim ini, justeru beliau menggesa barisan pemainnya untuk memberikan segala-galanya bagi menghadiahkan kekalahan pertama kepada Leverkusen.
Meskipun tewas dalam tiga perlawanan terakhir, namun Thorup menegaskan, hanya Augsburg merupakan satu-satunya pasukan yang masih berpeluang untuk menafikan peluang Leverkusen menamatkan aksi liga dengan rekod tanpa kalah.
“Kami mendapat beberapa petanda positif pada pertemuan menentang Stuttgart sebelum ini, jadi kami perlu memperbaiki prestasi sekiranya mahu melakar kejutan ke atas Leverkusen pada perlawanan itu nanti.
“Augsburg adalah pasukan terakhir yang boleh menjadi harapan untuk meleburkan cita-cita mereka untuk menamatkan saingan liga musim ini tanpa sebarang kekalahan walaupun tidak ada orang percaya dengan kemampuan kami,” katanya.
Tambah beliau, prospek menjadi pasukan pertama menewaskan Leverkusen nyata memberikan suntikan semangat buat pemain-pemainnya memandangkan orang ramai tidak yakin dengan kemampuan Augsburg untuk melaksanakan tugas tersebut.
“Ini adalah motivasi untuk kami kerana banyak pasukan sudah mencuba tetapi gagal. Kami bukannya pergi ke sana untuk meraikan kejayaan dengan mereka kerana tugas kami adalah untuk cuba tewaskan Leverkusen,” ujar Thorup. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/05 ... i-hajat-leverkusen/ |
|