|
JDT bersedia menjadikan NSFC mangsa pertama saingan Liga Super musim ini selepas aksi Piala Sumbangsih dibatalkan sebelum ini. - FB JOHOR SOUTHERN TIGER
PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) bersedia untuk jadikan Negeri Sembilan FC (NSFC) sebagai mangsa ‘lepas geram’ pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri petang ini.
Sebagai rekod, kedua-dua pasukan tidak mengharungi aksi pembuka tirai pada minggu lalu apabila JDT diberikan kemenangan percuma selepas Selangor FC tidak hadir pada perlawanan Piala Sumbangsih.
Skuad NSFC pula tidak bermain pada perlawanan pertama kerana menjadi pasukan ‘ganjil’ dengan aksi pembuka tirai bagi Hobin Jang Hobin adalah bertemu Harimau Selatan nanti.
Di atas kertas, JDT dijangka tidak mempunyai masalah untuk mengutip tiga mata penuh sekali gus memulakan kempen untuk memburu kejuaraan ke-11 berturut-turut dengan langkah kanan.
Ini kerana mereka telah mengharungi aksi pramusim yang cukup kompetitif selepas berkampung hampir tiga minggu di Sepanyol bulan lalu.
“Kami sangat gembira dengan kerja keras yang dilakukan oleh barisan pemain dan kejurulatihan.
“Prestasi pasukan semakin meningkat dan kita perlu mencari lebih banyak kejayaan,” kata pengendali JDT, Hector Bidoglio menerusi instagram peribadi baru-baru ini.
Sementara itu, Jurulatih NSFC, Azzmi Ab Aziz menyeru barisan pemain untuk berjuang sepenuh jiwa dan tidak ‘rendah diri’ meskipun sedar kekuatan JDT terutama di gelanggang keramat mereka.
“Kami memang akui reputasi JDT yang sangat konsisten dalam saingan liga. Namun, saya harap pemain bersedia daripada segala aspek untuk menghadapi cabaran itu nanti,” katanya.
https://www.kosmo.com.my/2024/05 ... -sabar-lepas-geram/ |
|