|
Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia menjuarai Terbuka Thailand.
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia memperoleh tonik tambahan menjelang Sukan Olimpik Paris apabila meraih gelaran pertamanya musim ini di Jelajah Dunia BWF, sebentar tadi.
Zii Jia yang dalam persiapan ke Paris pada Julai ini, berjaya meraih gelaran pertamanya di Terbuka Thailand selepas menewaskan jaguh Hong Kong, Ng Ka Long Angus 21-11, 21-10 dalam tempoh 34 minit.
Pada set pertama perlawanan, pemain berusia 26 tahun itu dan juga Ka Long saling bertukar mata namun Zii Jia bangkit selepas mata ke-11 sebelum mencatat kemenangan 21-11 dalam tempoh 15 minit.
Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia ketika menjuarai Terbuka Thailand.
Beraksi di set kedua, Zii Jia yang menunjukkan corak permainan agresif berjaya menyekat kemaraan Ka Long untuk mencipta kemenangan 21-10 sekali gus menjadikan rekod kemenangan dalam lapan pertemuan antara mereka kini terikat kepada 4-4.
Dengan kemenangan itu, Zii Jia yang meraikan kejayaan dengan jari telunjuk di mulut membawa pulang hadiah wang tunai AS$31,500 (RM147,640) manakala Ka Long meraih AS$15,960 (RM74,804) selaku naib juara.
Kemenangan itu pastinya turut menjadi bekalan buat Zii Jia yang pada ketika ini berada di ranking ke-10 dunia untuk mengekalkan momentum beraksi di Masters Malaysia 2024 bermula Selasa ini.
Zii Jia (tiga dari kanan) muncul juara di Terbuka Thailand selepas menewaskan jaguh Hong Kong, Ng Ka Long Angus 21-11, 21-10.
Untuk rekod, kemenangan ini adalah yang kedua buat Zii Jia selepas pernah menjuarai kejohanan sama pada edisi 2022.
Terdahulu, wakil tuan rumah dalam acara perseorangan wanita, Supanida Katethong melakar kejutan apabila menewaskan pemain ranking ketujuh dunia dari China, Han Yue 21-16, 25-23 dalam tempoh 56 minit.
Kemenangan itu meletakkan Supanida kini memperoleh dua kemenangan daripada tiga pertemuan antara mereka.
Dalam pada itu gandingan India, Satwisairaj Rankireddy-Chirag Shetty muncul juara bagi acara beregu lelaki selepas menewaskan Chen Bo Yang-Liu Yi dari China 21-15, 21-15.
https://www.bharian.com.my/sukan ... n-pertama-musim-ini |
|