CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 5429|Reply: 0

[Pulau Pinang] Bekas Mufti PP harap penggantinya sabar dalam memberi kefahaman

  [Copy link]
Post time 8-6-2024 12:33 PM | Show all posts |Read mode
Bekas Mufti PP harap penggantinya sabar dalam memberi kefahaman


Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my



Wan Salim Mohd Noor





Georgetown: Bekas Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Mohd Noor menasihati masyarakat Muslim di negara ini supaya memberi sepenuh kepercayaan kepada mufti dalam penentuan hukum syarak serta menghormati kepakaran mereka.

Beliau berkata, agama Islam mahu umatnya menerima pandangan pakar dalam bidang masing-masing (rujuk al-Quran, surah an-Nahl ayat 43).

"Fatwa bukan sesuatu yang statik atau rigid, tetapi anjal dan dinamik.

"Masyarakat juga perlu difahamkan bahawa keputusan fatwa bukan dibuat mufti secara bersendirian, sebaliknya ia diputuskan secara kolektif oleh ahli jawatankuasa fatwa selepas berbincang secara ilmiah dengan merujuk kepada kitab fiqh yang berwibawa.

"Di samping itu maslahah 'ammah atau kepentingan awam sentiasa diambil kira dalam memutuskan sesuatu fatwa.

"Malah ia dilakukan dengan teliti terhadap kaedah yang ditetapkan dalam ilmu Usul Fiqh dan kaedahnya berkaitan isu yang timbul atau dibangkitkan individu atau pihak tertentu," katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.

Wan Salim berkata demikian susulan persaraannya selepas 10 tahun bertugas di Jabatan Mufti Pulau Pinang yang berakhir pada Khamis lalu.

Mengulas lanjut Wan Salim berkata, beliau berharap penggantinya kelak dapat bersabar dalam memberi kefahaman kepada masyarakat awam mengenai keputusan hukum yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa.

Katanya, kadang-kala wujud salah faham mengenai sifat fatwa yang berubah-ubah menurut perubahan masa, tempat, budaya dan situasi.

"Tidak perlu gopoh selain membuat pelbagai pertimbangan dalam mengeluarkan fatwa yang menepati kehendak syarak.

"Selain nas al-Quran, beliau (pengganti) boleh berpandukan kepada hadis yang sahih dan tidak hanya terikat dengan pandangan ulama terdahulu.

"Saya ingin ucapkan (kepada pengganti), selamat menjalankan tugas sebagai Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan segala dedikasi dan tanggungjawab dan mendoakan beliau sentiasa dikurniakan kesihatan, taufik dan hidayah oleh Allah SWT ke arah kebaikan dunia dan akhirat," katanya lagi.

Wan Salim yang kini berusia 80 tahun terdahulu dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 2004 sebelum dilantik sebagai Mufti Pulau Pinang yang kelapan pada 2014.

Wan Salim memulakan kerjaya sebagai guru sambilan di Maktab Mahmud Alor Setar pada 1962 hingga 1964 serta pernah menjadi khatib dan imam di Dewan Malaysia, London.

Sekembalinya dari Universiti al-Azhar, beliau menjadi pensyarah di Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan, Nilam Puri sebelum menjadi pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) sehingga dilantik sebagai profesor madya dan bersara pada 2001.

Seterusnya, beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta Universiti Muhammadiyah Malang, Indonesia.



Disiarkan pada: Jun 8, 2024 @ 12:18pm






Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

26-6-2024 07:52 AM GMT+8 , Processed in 0.056487 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list