|
MODRIC menyempurnakan sepakan penalti untuk gol pertama Croatia. -FOTO Reuters
Oeiras, Portugal: Croatia menamatkan persiapan Euro 2024 mereka dengan kemenangan mengagumkan 2-1 ke atas Portugal dalam aksi persahabatan terakhir sebelum saingan sebenar bermula.
Skuad kendalian Zlatko Dalic itu menewaskan juara Euro 2016 di Lisbon, Oeiras sekali gus memberi amaran kepada pesaing Kumpulan B, Sepanyol dan Itali.
Portugal yang dikendalikan Roberto Martinez, antara skuad pilihan untuk memenangi kejohanan itu, hanya tewas dua kali dalam 13 perlawanan di bawah kendalian pengendali dari Sepanyol itu.
Martinez memilih untuk merehatkan bintang utamanya, Cristiano Ronaldo yang hanya memanaskan bangku simpanan bagaimanapun terlepas peluang menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua.
"Perlawanan hari ini menghasilkan keputusan negatif... kami ingin menang, itu cara terbaik untuk berkembang, tetapi hari ini juga terdapat perkara positif yang boleh diambil," kata Martinez.
Portugal memenangi semua perlawanan kelayakan mereka tetapi tewas dalam perlawanan persahabatan menentang Slovenia pada Mac, dan kini Croatia.
"Kemenangan menentang Croatia tidak akan menjadikan kami cukup baik untuk memenangi kejohanan, kalah tidak bermakna kami tidak akan layak ke pusingan 16 terakhir," sambung Martinez.
"Perlawanan persahabatan adalah tentang persediaan. Sekarang kami lebih kuat daripada sebelum perlawanan. Ini adalah bola sepak antarabangsa.
"Kami tewas, Croatia layak memenanginya tetapi bagi kami ia adalah ujian yang kami perlukan."
Croatia mendominasi bahagian awal perlawanan menentang tuan rumah yang kurang bersemangat dan pemain veteran Luka Modric menjaringkan gol antarabangsa ke-25nya dari sepakan penalti selepas Vitinha menjatuhkan Mateo Kovacic.
Pemain tengah Real Madrid, Modric, yang berusia 38 tahun, berharap dapat menamatkan karier antarabangsanya dengan baik dalam apa yang mungkin menjadi kejohanan antarabangsa utama terakhirnya.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... epas-benam-porutgal |
|