|
JACOBS pertahan mahkota kejuaraan 100m di kejohanan Eropah. -FOTO Reuters
Rom: Juara Olimpik dari Itali, Marcell Jacobs mengekalkan mahkota 100 meter (m) Eropahnya di Rom untuk mendapat tonik berharga menjelang temasya Olimpik Paris yang akan datang.
Jacobs mencatat masa terbaik musim ini dengan catatan 10.02 saat (s) untuk merangkul emas ketika rakan sepasukan dari Itali, Chituru Ali meraih perak, 10.05s manakala pelari Britain, Romel Glave meraih gangsa, 10.06s.
Selepas tiga sesi yang kurang mendapat sambutan yang baik, orang ramai mula memenuhi stadium Stadio Olimpico untuk melihat kepulangan Jacobs yang dilahirkan di Amerika Syarikat, anak kepada seorang askar berbangsa Amerika dan ibu Itali namun dibesarkan oleh ibunya di kota Rom.
Dia menerima sokongan padu daripada penonton yang melaung namanya serta mendapat tepukan seperti seorang maharaja Rom.
'False start' bagaimanapun memecahkan kesunyian di Stadio Olimpico, Ali dilayangkan kad kuning kerana kesalahan itu ketika pelari bergerak kembali ke blok permulaan masing-masing untuk bermula buat kali kedua.
"Saya mempunyai tiga matlamat: kesihatan, mempertahankan kejuaraan Eropah dan kemudian Olimpik," kata Jacobs.
"Saya ingin menang sekali lagi dan saya sangat gembira dengannya. Ia adalah kali pertama dalam musim ini saya berlari dua perlumbaan yang rapat.
"Pada perlumbaan akhir, saya merasakan kekejangan di betis kanan tetapi saya teruskan, saya mengetap gigi kerana saya mahu menang di hadapan penonton yang menakjubkan ini."
Jacobs mengejutkan dunia apabila beliau memenangi emas Olimpik dalam Sukan Tokyo yang ditangguhkan akibat Covid pada tahun 2021.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... 0m-kejohanan-eropah |
|