|
Kontrak pengendali England, Gareth Southgate akan tamat akhir tahun ini. - Foto REUTERS
ERFURT, Jerman: Euro 2024 adalah peluang terakhir buat pengendali England, Gareth Southgate untuk memburu kegemilangan bersama skuad The Three Lions.
Ia adalah kejohanan major keempat pengendali itu bersama England, sebelum kontraknya tamat hujung tahun ini.
Walaupun Persatuan Bolasepak Inggeris mahu dia terus membimbing pasukan itu, Southgate, 53, berkata: "Jika kami tidak menang, saya tidak akan berada di sini lagi.
"Jadi ini mungkin peluang terakhir. Saya rasa separuh daripada jurulatih kebangsaan keluar selepas kejohanan - itu lumrah bola sepak antarabangsa.
"Saya sudah di sini selama lapan tahun sekarang dan kami begitu hampir memenanginya.
"Anda tidak boleh sentiasa berkata, "Tolonglah, sedikit saja lagi,' akan tiba masanya orang mula hilang keyakinan.
"Jika kita ingin menjadi pasukan hebat dan saya mahu menjadi jurulatih terbaik, anda perlu berjaya di peringkat tertinggi."
England, yang tiba di Erfurt dari Birmingham, berlatih buat pertama kali di Jerman di hadapan 12,000 penyokong tempatan di kota Jena.
Southgate akan berdepan Serbia pada aksi pembukaan Kumpulan C yang turut dibarisi Slovenia dan Denmark.
Sepanjang membimbing England, Southgate membawa mereka ke suku akhir dan separuh akhir Piala Dunia, serta tewas penentuan penalti di tangan Itali pada final Euro 2020. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... -terakhir-southgate |
|