Georgetown: Semua istiadat dan majlis-majlis rasmi sempena sambutan Hari Ulang Tahun ke-75 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak ditangguhkan dan akan dilaksana bermula 27 Julai hingga 1 Ogos ini.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang berkata, perkara itu dibuat susulan pertindihan tarikh Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim.
"Bagaimanapun, tarikh 13 Julai ini sudah ditetapkan dan diisytiharkan sebagai Hari Kelepasan Am sempena sambutan Ulang Tahun Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sebelum ini, Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang Tahun 2024 dijadualkan berlangsung pada 13 Julai depan.