NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) menunggu hasil siasatan polis berhubung video tular memaparkan seorang pelajar perempuan ditampar rakannya di dalam tandas sebuah sekolah menengah dipercayai di Kerian, Perak.
Menterinya Fadhlina Sidek, berkata pihaknya telah menyerahkan perkara itu untuk disiasat pihak berkuasa sebelum mengambil tindakan sewajarnya mengikut garis panduan ditetapkan.
"Kes ini (pelajar ditampar rakan) telah pun kita laksanakan siasatan dan serahkan pada pihak berkuasa (polis) untuk memastikan bahawa tindakan sewajarnya diambil.
"Begitu juga dengan pendekatan (KPM) untuk terus mengekang kejadian buli di sekolah. Jadi saya ambil kesempatan ini untuk terus memperingatkan khususnya ibu bapa. para guru, komuniti dan anak-anak supaya tidak terjebak dengan gejala buli ini.
"Kita sudah pun menetapkan peraturan dan juga menambah baik segala garis panduan kita berkaitan mengekang kejadian buli khususnya di institusi pendidikan di bawah KPM.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden seorang pelajar wanita ditampar rakan di sebuah sekolah menengah yang dipercayai berlaku di daerah Kerian.
Terdahulu beliau ditemui ketika menyantuni petugas media di Pusat Media sempena Pilihan Raya Kecil ( PRK) Sungai Bakap di Kompleks Rakan Muda di Jawi, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Polis Perak menjalankan siasatan berhubung satu video tular memaparkan seorang pelajar wanita dibuli di sebuah sekolah menengah dipercayai berlaku di daerah Kerian.
Video berdurasi satu minit dan 21 saat bertarikh 14 Jun lalu itu memaparkan seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun dibuli oleh dua pelajar perempuan berusia 15 tahun dari sekolah sama.
Siasatan mendapati kejadian berpunca dari sikap cemburu salah seorang suspek terhadap mangsa yang dikatakan rapat dengan teman lelakinya berusia 15 tahun dan pelajar dari sekolah sama.
Laporan dibuat mangsa pada hari ini dan kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.