SUNGAI BAKAP - Kehadiran golongan muda yang keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dilihat agak memberangsangkan setakat jam 11 pagi Sabtu.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, walaupun pusat pengundian baharu dibuka selama tiga jam, namun saluran mengundi untuk golongan itu telah mula menerima pengundi.
"Keadaan agak seimbang, ada beberapa saluran yang saya tengok saluran anak muda lebih ramai daripada warga emas dan ini menunjukkan ramai anak muda keluar awal," katanya kepada media di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Sungai Duri.
Dalam pada itu, menurut Ramlan, SPR tidak menerima sebarang laporan sepanjang pengundian, namun hanya kesalahan kecil yang telah diambil tindakan oleh pihak berkaitan.
"Alhamdulillah sepanjang lawatan saya, ini adalah sekolah ketiga, keadaan amat tenteram dan harmoni, sehingga jam 11 pagi jumlah pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab ialah 24 peratus.
"Agak rendah berbanding pilihan raya negeri (PRN) lepas, tetapi kita kena faham ini PRK... kita harapkan supaya semua boleh turun secepat mungkin dan menaikkan peratus pengundian," katanya.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara wakil Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin dan Calon Perikatan Nasional, Abidin Ismail.
Ia diadakan pada 6 Julai susulan kematian penyandang, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal memenangi kerusi N20 berkenaan setelah mengalahkan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.