Jainudin Mt Sum Munajat dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1446H Johor pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H Peringkat Negeri Johor di Dewan Jubli Intan di sini, hari ini. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN Johor Bahru: Bekas Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Johor, Jainudin Mt Sum@Munajat dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1446H Johor.
Jainudin, 75, berkata, beliau berharap anugerah itu dapat dijadikan inspirasi kepada semua masyarakat untuk menyumbangkan kepada agama, bangsa dan negara.
"Saya berharap anugerah ini menjadi inspirasi kepada anak-anak dan sahabat serta semua kerana setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab untuk menyumbang sesuatu selagi kita hidup," katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H Peringkat Negeri Johor di Dewan Jubli Intan di sini, hari ini.
Bapa kepada lima anak itu menerima anugerah berserta wang tunai RM12,000 dan sijil penghargaan yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Dr Nooh Gadut.
Jainudin berkata, beliau memulakan kerjaya sebagai Kadi Daerah Kluang pada 1981 sebelum dilantik sebagai Hakim Syarie bermula 1992 sehingga bersara pada 2005.
"Saya kemudian dilantik sebagai Ahli Panel Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Johor sejak 2014 sehingga kini," katanya.
Jainudin juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dan Teologi Universiti Al-Azhar, Mesir, selain Diploma Pentadbiran Kehakiman daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Beliau berazam meneruskan usaha memantapkan lagi kedudukan mahkamah syariah khususnya di Johor selain peringkat persekutuan.
"Saya akan terus berusaha mengukuhkan dan memantapkan lagi institusi kehakiman untuk memberi peluang setiap masyarakat mendapatkan keadilan yang lebih baik.
"Mudah-mudahan Johor tidak ketinggalan memartabatkan pengharapan masyarakat Islam dengan memperkasakan mahkamah syariah negara kita," katanya.
Sementara itu, Anugerah Maal Hijrah 1446H Peringkat Johor turut diberikan kepada Datuk Marsan Kasim bagi Kategori Kemasyarakatan dengan membawa pulang wang tunai RM10,000 dan sijil penghargaan.
Anugerah Maal Hijrah 1446H bagi kategori Belia pula diberikan kepada Mohd Faiz Mohamad.
Bagi kategori Saudara Kita dianugerahkan kepada Nor Hayati Josie Abdullah manakala Abd Samad Hamid menerima anugerah itu bagi kategori Orang Asli.
Ketiga-tiga mereka menerima wang tunai RM5,000 berserta sijil penghargaan.
|