ALOR SETAR: "Saya teringin nak ke sekolah semula sebab rindukan cikgu dan rakan-rakan tetapi apakan daya saya tak dapat bergerak akibat kanser tulang yang sudah merebak hampir sampai ke otak," kata Muhammad Firdaus Mohd Zul, 15.
Muhammad Firdaus yang kini terlantar di katil tidak menyangka dia yang dahulunya seorang atlet sekolah, kini tidak dapat bergerak hanya disebabkan kanser osteosarcoma yang menyerang sejak Mei lalu.
Katanya, sepanjang sakit, rakan baik kerap menghubungi dan menziarahinya sambil memberi semangat supaya dia kuat dan tabah hadapi ujian.
"Saya sedih kerana tak dapat ke sekolah macam dulu tetapi cikgu-cikgu faham dengan keadaan saya dan mereka suruh saya berehat dan tumpukan rawatan dahulu.
"Kalau boleh saya nak cepat sembuh dan dapat melakukan aktiviti di sekolah seperti dulu kerana bosan duduk di rumah," katanya ditemui di rumahnya di Taman Seri Marina, Jalan Kuala Kedah, semalam.
Ibunya, Fauziah Ahmad, 46, berkata, Muhammad Firdaus adalah anak tunggalnya, hasil perkahwinan dengan suami, Mohd Zul Shidin, 46.
Katanya, anaknya mula dikesan menghidap kanser selepas dia mengadu kaki sebelah kirinya tidak dapat bergerak sebaik pulang dari aktiviti merentas desa di sekolahnya di Sekolah Menengah (SM) Tunku Laksamana, Jalan Kuala Kedah, di sini Mei lalu.
"Dia beritahu saya, kaki kirinya terasa berat dan kebas menyebabkan saya terus membawanya ke klinik berhampiran untuk membuat pemeriksaan.
"Namun doktor hanya memberinya ubat saraf tetapi keadaan tidak berubah malah kaki kirinya makin sakit.
"Saya dan suami membawa Muhammad Firdaus ke sebuah pusat perubatan swasta untuk menjalani pemeriksaan lanjut dan doktor mencadangkan anak saya menjalani ujian pengimejan resonans magnet (MRI)," katanya.
Menurut Fauziah, hasil laporan MRI mendapati, terdapat ketumbuhan pada tulang belakang dan paru-paru dan perlu dirujuk di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Katanya, sebelum ini Muhammad Firdaus juga pernah mengadu sakit dan lenguh di bahagian bahu dan hanya menampal koyok bagi meredakan kesakitannya.
"Anak saya kemudian dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan sudah menjalani empat kali rawatan kemoterapi dan masih ada dua kali rawatan kemoterapi lagi yang perlu dilakukan.
"Doktor memberitahu anak saya tidak dapat berjalan disebabkan gangguan saraf yang sudah hampir sampai ke otak dan saya perlu mengikut semua rawatan yang perlu dilakukan," katanya.
Menurutnya lagi, suaminya bekerja sebagai jurumesin di sebuah syarikat dan terpaksa mengambil cuti sekiranya anak mereka dimasukkan ke hospital.
Katanya, dia buntu memikirkan masalah kewangan yang dihidapi kerana hanya mengharapkan pendapatan suami sepenuhnya yang tidak mencukupi.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun bapa Muhammad Firdaus iaitu Bank Muamalat 02010000057527 (Mohd Zul Shidin).
Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal mengunjungi pesakit itu dan menghulurkan sedikit sumbangan untuk kegunaannya.