LANGKAWI: Program empowerNCER Akademik (PAE) yang dilaksanakan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah membantu melonjak pencapaian akademik calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di daerah ini.
Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah, berkata kejayaan demi kejayaan ditunjukkan pelajar SPM selepas mengikuti program berkenaan yang mana mereka pada awalnya agak lemah dari segi pencapaian akademik.
"Seramai 200 pelajar PAE membabitkan lima sekolah menengah di daerah ini telah lulus dalam SPM 2023 yang diumumkan 27 Mei lalu, malah daripada jumlah itu seramai 24 calon memperoleh keputusan 5A ke atas.
"Angka itu memperlihatkan lonjakan, berbanding hanya 103 pelajar program sama yang lulus pada tahun sebelumnya," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Apresiasi PAE Daerah Langkawi di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengurus Pejabat NCIA negeri, Zairemy Mohd Yunus; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi, Rohaizar Othman dan wakil Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Mohamad Asmawi Ibrahim.
Pada majlis itu, Mohamad Subhi turut menyampaikan sijil penghargaan dan wang tunai RM300 kepada anak pengawal keselamatan juga pelajar terbaik SPM 2023 di daerah ini, Nur Fatin Nabilah Rosnizam, 18, yang memperoleh keputusan 10A.
Ketika ditemui, Nur Fatin Nabilah berkata, dia masih menunggu tawaran dari mana-mana institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi bagi mencapai cita-citanya menjadi guru.
"Program tuisyen di bawah PAE dan dikendalikan oleh UniSZA tahun lalu adalah antara yang telah membantu saya memperoleh kejayaan ini, terima kasih pada semua," katanya yang juga anak sulung dari empat beradik.