ALOR SETAR - Pas membidas Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berhubung kenyataan sinis terhadap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek kerana mempertahankan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan dana institusi pendidikan.
Ketua Pengarah Ameerah, Dewan Muslimat Pas Pusat, Mardhiyyah Johari berkata, ketegasan Fadhlina berkenaan pekeliling KPM tersebut bukan baharu, dan sudah diguna pakai sejak 2018.
Menurutnya, ketetapan itu perlu dihormati dan bukannya ditukar hanya kerana DAP tidak bersetuju dengan garis panduan sedia ada.
“Sekiranya ia menjadi satu masalah kepada Guan Eng, saya juga mahu ingatkan beliau bahawa Fadhlina bukan Menteri Pendidikan DAP,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, Guan Eng mengingatkan Fadhlina supaya tidak berpendirian seiring dengan Pas dan Pemuda UMNO dalam isu kutipan dana pendidikan Cina selain menegaskan Fadhlina bukan Menteri Pendidikan Pas, malah menyifatkan komen Menteri Pendidikan itu ‘agak keras’.
Mardhiyyah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor tegaskan, kabinet juga bersetuju agar KPM mengekalkan pekeliling yang dikeluarkan pada tahun 2018, antaranya melarang pihak sekolah menerima sumbangan dan tajaan daripada syarikat minuman keras.
“Ia jelas menunjukkan amalan ini bukanlah baharu. Jika normalisasi arak di sekolah dibenarkan, adakah normalisasi rokok dan vape juga dibenarkan selepas ini?
“Jika pelajar sekolah ‘dilunakkan’ dengan kebaikan syarikat arak, bagaimana pula jika syarikat rokok dan vape juga mahu berjinak-jinak dengan pelajar sekolah selepas ini?
“Kita bukan ‘Robin Hood’ yang menghalalkan perbuatan salah dengan derma,” katanya.
Menurutnya lagi, harus diingat institusi pendidikan adalah tempat paling utama untuk moral generasi muda dibentuk dan tidak sewajarnya diganggu-gugat anasir luar.
“Guan Eng turut mempersoal tindakan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh kerana mencampuri isu yang tiada kena-mengena dengan masyarakat Melayu dan Islam, kerana ia melibatkan masyarakat Cina.
“Jika begitu dari awal lagi pemimpin kerajaan berstatus Timbalan Menteri yang beragama Islam dan berbangsa Melayu tidak sepatutnya dijemput ke majlis tersebut. Malah dijemput berada atas pentas bersama cek replika berlogo syarikat arak Tiger Beer,” ujarnya.
Mardhiyyah tegaskan, Guan Eng perlu sedar apakah punca isu tersebut meletus sehingga menjadi kontroversi dan dikecam banyak pihak.
“Adakah tiada pelajar Melayu beragama Islam di sekolah Cina sehingga secara tiba-tiba SJKC terus dianggap hanya melibatkan masyarakat Cina semata-mata?” soalnya.