TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar. FOTO Alias Abd Rani
Muar: "Tolonglah minta bantuan sesiapa," itulah rayuan pekerja syarikat pembersihan ketika meminta ahli keluarganya mendapatkan wang bagi membayar ikat jamin selepas dituduh merogol pelajar perempuan hingga melahirkan anak, dua tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Zuladha Ferhad Zuraini, 23, yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, sebelum itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Mengikut pertuduhan, dia yang masih bujang didakwa merogol mangsa berusia 13 tahun di rumahnya di sini, antara Ogos hingga November 2022.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Ogos ini untuk pihak pendakwaan menyediakan fakta dan hukuman.
Pada masa sama, mahkamah menetapkan tertuduh supaya melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar setiap awal bulan serta tidak boleh mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa serta ahli keluarganya.
Berdasarkan laporan, perbuatan tertuduh terbongkar apabila mangsa pening dan pengsan di sebuah tapak ekspo di bandar ini pada Disember 2022.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini dan pemeriksaan doktor mendapati dia hamil 14 minggu ketika itu.
Satu laporan polis dibuat ahli keluarga mangsa di IPD Muar pada 17 Disember 2022 dengan tertuduh ditahan tiga hari kemudian.
Dalam pada itu, mangsa dilaporkan sudah melahirkan anak pada 12 Jun tahun lalu, namun bayi berkenaan diserahkan kepada orang lain.
Disiarkan pada: Julai 31, 2024
|