|
LOKE (tengah) merasmikan bangunan baru JPJ cawangan Muar. FOTO Alias Abd Rani
Muar: Hampir 10 juta pengguna mendaftar aplikasi dalam talian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) iaitu JPJeID sehingga hari ini sejak capaian itu diumumkan tahun lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, selain itu JPJ merekodkan lebih 13 juta pengguna memuat turun aplikasi MyJPJ susulan penambahbaikan dilakukan agensi terbabit.
Beliau berkata, angka itu menunjukkan pengguna mula beralih kepada penggunaan digital khususnya untuk pembaharuan lesen memandu dan lesen kenderaan bermotor.
"Selepas diumumkan beberapa penambahbaikan aplikasi pendigitalan MyJPJ, ia menerima sambutan menggalakkan dan inisiatif ini diperkenalkan bagi memudahkan orang awam.
"Pelbagai fungsi baru diperkenalkan antaranya perkongsian Lesen Kenderaan Motor Digital (eLKM) dan juga pembaharuan lesen memandu serta LKM," katanya ketika merasmikan bangunan baru JPJ cawangan Muar, hari ini.
Selain itu, Loke berkata, mod pembayaran pembaharuan eLKM dan Lesen Memandu Digital (eLMM) menggunakan 'Payment Gateway' atau FPX merekodkan kutipan hasil tiga kali ganda berbanding portal MySIKAP.
Katanya, kutipan hasil bagi Jun menerusi MyJPJ adalah sebanyak RM25.6 juta berbanding RM7.8 juta menggunakan MySIKAP.
"Perkembangan ini didorong oleh pengumuman kementerian berkenaan fungsi baru MyJPJ yang dibuat Mei lalu.
"Ini menunjukkan sistem pendigitalan diterima ramai pihak yang mana mereka tidak perlu lagi urus niaga secara fizikal di kaunter JPJ," katanya.
Disiarkan pada: Ogos 1, 2024
sumber
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|