Georgetown: Pengusaha premis makanan di negeri ini perlu mengekalkan standard kebersihan bagi menjaga reputasi Pulau Pinang sebagai antara destinasi makanan popular di negara ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ini berikutan terdapat kedai makan atau restoran diarahkan tutup berikutan isu kebersihan tidak memuaskan.
Menurutnya, ketika ini orang ramai termasuk pelancong domestik datang berkunjung ke Pulau Pinang untuk menikmati makanan popular berikutan musim cuti sekolah.
"Saya beri amaran kepada pengusaha-pengusaha makanan ini supaya sentiasa menjaga imej mereka dan Pulau Pinang. Jangan jejas keyakinan pelancong terhadap tempat-tempat makanan kita.
"Walaupun ada beribu-ribu outlet (premis makanan) dan kes-kes ini hanya melibatkan satu, dua atau tiga (premis) sahaja, ia tidak sepatutnya berlaku.
"Semua pengusaha makanan perlu memastikan sentiasa menjaga kebersihan dan memartabatkan jenama Pulau Pinang sebagai destinasi makanan pilihan di negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program 'Forward Road Relay 2024' sejauh tiga kilometer di Lebuh Pantai, di sini, hari ini.
Media pada Jumaat lalu melaporkan, tiga premis makanan di Tanjong Bungah, di sini, diarah tutup selama 14 hari selepas pemeriksaan mendapati terdapat najis tikus selain tahap kebersihan tidak memuaskan.