Alor Setar: Pengikut Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) pernah mengikuti program pemantapan akidah anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) pada tahun lalu.
Pengarah JHEAIK, Datuk Dr Abd Ghani
@ Zulkifli Zainuddin berkata, penganjuran Program Kenegaraan Anak Muda itu membabitkan golongan belia GISBH dikenali sebagai Remaja Pembela Ummah Muslimah (RPUM).
Menurutnya, seramai 50 peserta terdiri daripada belia berusia 18 hingga 40 tahun dibimbing dalam program berkenaan dengan kerjasama termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) danPolis Diraja Malaysia (PDRM).
"Program itu memberi penekanan mengenai bahaya penyelewengan akidah selain implikasinya kepada keharmonian masyarakat dan keselamatan negara.
"Bagaimanapun, tiada sesi kaunseling diadakan terhadap kumpulan berkenaan tetapi JHEAIK akan sentiasa melakukan pemantauan terhadap aktiviti GISBH dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh semalam dilaporkan berkata, polis sedang mengumpul maklumat lengkap berhubung kegiatan kumpulan ini yang masih beroperasi di daerah Kuala Muda, Kubang Pasu dan Padang Terap.
Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti sekolah, restoran dan taman asuhan membabitkan kumpulan berkenaan.