Alor Setar: Ramai pelancong dari negara ini yang hendak memasuki Thailand melalui sempadan Bukit Kayu Hitam terkandas disebabkan tunggakan cukai pendapatan, cukai kastam, serta kes jenayah lama yang belum diselesaikan.
Selain masalah kewangan, pasport rosak turut menjadi punca ramai rakyat Malaysia terpaksa membatalkan percutian mereka.
Pengarah Jabatan Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, pihaknya mengesan 10 kes pasport rosak, termasuk pasport koyak, terkena air, hilang muka surat dan diconteng kanak-kanak.
Terdapat juga 20 kes berkaitan tunggakan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan sembilan kes membabitkan isu kastam.
"Untuk elak kekecewaan di saat akhir, kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk menyemak status perjalanan mereka di portal Sistem Semakan Status Perjalanan Imigresen (SSPI) sebelum membuat sebarang perancangan ke luar negara.
"Anda hanya perlu memasukkan nombor Mykad untuk mengetahui jika ada sebarang sekatan yang dikenakan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Antara yang terjejas ialah pelancong yang dikenali sebagai Maznah, 45, dari Ayer Keroh, Melaka apabila hasratnya untuk menyertai rombongan Hari Keluarga di Thailand tidak dapat dilaksanakan apabila diberitahu namanya tersenarai dalam sekatan perjalanan kerana gagal menjelaskan cukai pendapatan.
"Saya memang teruja nak makan tomyam di sana (Hatyai) selain bercuti dengan keluarga besar, tapi tiba-tiba semuanya musnah kerana saya tak sedar ada masalah cukai," katanya.
Sementara itu, seorang lagi pelancong dikenali Ramesh, 36, dari Gelang Patah, Johor, mengalami nasib malang apabila percutiannya bersama keluarga terpaksa dibatalkan kerana pasport anaknya diconteng tanpa disedarinya.
"Saya memang tak perasan ada contengan. Habis semua perancangan kami," katanya.