Sik: Hujan lebat di daerah ini, sejak semalam, menyebabkan Sungai Chepir di sini, melimpah sehingga mengakibatkan banjir kilat di dua kampung.
Pegawai Pertahanan Awam Malaysia Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, hujan lebat sepanjang hari sejak semalam menyebabkan Kampung Kemelong dan Kampung Titi Semang dinaiki air.
Beliau berkata, setakat ini, tiga rumah di Kampung Kemelong sudah dinaiki air dan sebuah rumah di Kampung Titi Semang juga sudah dilanda banjir kilat.
"Bagaimanapun, setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini.
"Namun, anggota kami masih melakukan pemantauan di kawasan sungai yang dinaiki air selain pemantauan di rumah penduduk berhampiran bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.
"Sekarang ini keadaan masih hujan di daerah ini," katanya ketika dihubungi hari ini.