Banjir: LRA Bukit Pinang Fasa 1 dihenti tugas
OlehROSHILA MURNI ROSLI
19 September 2024 12:17pm
LRA Bukit Pinang Fasa 1 terpaksa dihenti tugas pada pukul 1 pagi Khamis berikutan peningkatan air sungai ke paras kritikal di muka sauk yang disebabkan oleh hujan berterusan sejak beberapa hari yang lalu.
ALOR SETAR - Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Pinang Fasa 1 terpaksa dihenti tugas pada pukul 1 pagi Khamis berikutan peningkatan air sungai ke paras kritikal di muka sauk yang disebabkan oleh hujan berterusan sejak beberapa hari yang lalu.
Syarikat Air Darul Aman (SADA) dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan henti tugas LRA itu telah menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air tidak berjadual di daerah Kota Setar dan sebahagian daerah Kubang Pasu melibatkan kira-kira 35,000 akaun pengguna.
Katanya, antara yang terjejas adalah Pekan Alor Setar, Mergong, Mentaloon, Hutan Kampung, Tanjung Musang, Bukit Pinang, Kepala Batas, Tok Jalai dan beberapa kawasan yang lain.
“Jangkaan untuk LRA Bukit Pinang beroperasi semula masih belum dapat dipastikan buat masa ini memandangkan paras air masih lagi berada pada paras kritikal dan telah menenggelamkan aset-aset mekanikal dan elektrikal di LRA berkenaan," katanya dalam kenyataan di Facebook milik SADA pada Khamis.
Menurutnya, selain insiden banjir, beberapa LRA lain juga berisiko terkesan dengan isu kerosakan sistem elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang turut mengalami kerosakan akibat bencana ribut taufan dan Pokok tumbang.
"Oleh itu bagi mengurangkan beban pengguna yang terjejas, tindakan segera melalui penghantaran lori tangki air dan penempatan tangki statik di pusat pemindahan sementara (PPS) sedang dilaksanakan pada masa ini.
"Maklumat berkenaan gangguan bekalan air ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform media sosial dan laman sesawang rasmi SADA di www.sada.com.my atau boleh menghubungi i-SADA di talian 1300-88-0017,” katanya.
https://www.sinarharian.com.my/article/686405/edisi/utara/banjir-lra-bukit-pinang-fasa-1-dihenti-tugas
|