Edited by sfhzuraz at 29-9-2024 08:01 PM
'Jasad ibu dan anak terpisah hanya 50 meter'
Oleh Zuliaty Zulkiffli - September 29, 2024 @ 1:33pm [email protected]
Md Tajuddin Awang Mohammad bersyukur jasad anak saudaranya, Salmah Mat Zain ditemukan hari ini. - NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
PADANG TERAP: "Ketika hidup mereka sangat rapat, meninggal pun terpisah jarak hanya 50 meter."
Md Tajuddin Awang Mohammad, 47, adalah bapa saudara kepada Salmah Mat Zain, 46, yang ditemukan lemas hari ini selepasdihanyutkan arus ketika mengharungi banjir bersama anak lelakinya, Muhammad Rosman Rohadi, 19, di Kampung Tanjung Kanan di sini, semalam.
Mayat Salmah ditemui tersangkut di bawah timbunan pelepah sawit dan tunggul kayu kira-kira 50 meter dari lokasi jasad anaknya ditemui di kawasan kelapa sawit kampung itu, semalam. Muhammad Rosman dipercayai cuba menarik tangan ibunya yang ketika itu berpaut pada pokok getah sebelum dihanyutkan arus.
Md Tajuddin berkata, Muhammad Rosman adalah orang kurang upaya (OKU) pembelajaran dan sentiasa menemani ibunya ke mana sahaja.
"Kami tinggal sekampung dan Salmah selalu datang ke rumah saya. Tentulah kami sedih dengan kejadian ini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Terdahulu, Md Tajuddin melakukan pengecaman jasad Salmah yang ditemukan dalam keadaan sempurna.
"Bagi pihak keluarga, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk polis, pihak Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta penduduk kampung yang bertungkus-lumus mencari dua beranak ini sejak semalam.
Katanya, jenazah dijangka dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Masjid Aisyah Kampung Tanjung hari ini selepas selesai urusan di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.
Dua beranak itu dihanyutkan arus banjir di Kampung Tanjung Kiri, Jalan Padang Sanai, di sini, semalam.
Mayat Muhammad Rosman ditemukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) tersangkut pada pelepah kelapa sawit pada jam 5.35 petang semalam manakala jasad ibunya ditemukan jam 7.45 pagi hari ini.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/09/1304367/jasad-ibu-dan-anak-terpisah-hanya-50-meter
|