Edited by sfhzuraz at 29-9-2024 08:35 PM
Banjir: PeSAWAH mohon bantuan tunai segera bagi tanaman semula
OlehWAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR
29 September 2024 01:46pm
Laporan Sinar Harian pada Khamis lalu.
ALOR SETAR - Para petani yang terjejas dengan banjir memohon agar kerajaan dapat menyalurkan bantuan tunai kepada mereka dengan segera bagi menyuntik modal bagi pusingan tanaman padi seterusnya.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob, berkata, tanaman padi yang rosak akibat banjir pada kali ini disifatkan antara terburuk bagi sektor pertanian di Kedah dan Perlis dalam tempoh 20 tahun yang menyaksikan mereka kehilangan hasil.
Menurutnya, bantuan tersebut perlu disegerakan kerana tanaman padi musim dua 2024 dijangka bermula pada bulan depan.
“Hasil keuntungan yang diperoleh oleh pesawah akan digunakan untuk membeli benih dan membayar upah jentera bagi tanaman musim seterusnya namun selepas tanaman padi rosak, mereka tidak mempunyai modal.
“PeSAWAH merayu agar kerajaan dapat mempercepatkan bantuan untuk golongan ini kerana dengan keadaan sekarang ini, kita bimbang akan ada di kalangan mereka ini terpaksa berhutang untuk meneruskan kehidupan,” katanya pada Ahad.
Jelas Abdul Rashid, kejadian banjir yang baru sahaja berlaku ini perlu diberikan perhatian utama oleh kerajaan kerana membabitkan keselamatan makanan negara.
Pada masa sama, beliau turut berharap kerajaan dapat menyemak semula skim bantuan tunai tabung bencana kerana pampasan maksimum yang dibayar untuk setiap petani dihadkan kepada tiga hektar.
“Bagi para petani yang mengusahakan sawah berskala besar tidak akan menerima bantuan tunai lebih daripada tiga hektar,” ujarnya.
Pada Khamis lalu, Sinar Harian melaporkan banjir besar yang melanda Kedah baru-baru ini menyebabkan 972 pesawah dalam wilayah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM13.5 juta.
Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar berkata, berdasarkan semakan setakat ini terdapat lebih 1,500 hektar kawasan bendang dalam wilayah itu terjejas akibat banjir..
Pada 21 September pula, media melaporkan seluas 5,822.59 hektar tanaman padi telah terjejas akibat banjir, dengan anggaran kerugian hasil padi mencecah RM32 juta di negeri-negeri utara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementerian telah mengambil langkah untuk membantu petani, penternak, dan nelayan yang terkesan dengan bencana tersebut.
https://www.sinarharian.com.my/article/688255/edisi/utara/banjir-pesawah-mohon-bantuan-tunai-segera-bagi-tanaman-semula
|