Alor Setar: Empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Baling, malam tadi, apabila 134 mangsa daripada 62 keluarga di daerah itu dipindahkan selepas kediaman mereka dinaiki air akibat banjir kilat.
Berikutan itu, jumlah mangsa banjir di Kedah mencatatkan peningkatan kepada 1,374 mangsa daripada 458 keluarga di 14 PPS yang aktif di empat daerah di negeri ini, setakat 8 pagi hari ini.
Jumlah itu meningkat berbanding 1,332 mangsa daripada 426 keluarga yang dilaporkan semalam, iaitu di 10 PPS di tiga daerah iaitu Pokok Sena, Kubang Pasu dan Kota Setar.
Laman web Public Infobanjir pula melaporkan, empat sungai di daerah ini mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya setakat 7 pagi hari ini.
Antara sungai terbabit adalah Sungai Padang Terap, Kepala Batas di Kubang Pasu, Sungai Ketil di Kuala Pegang daerah Baling, dan dua sungai di daerah Kota Setar iaitu Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR dan Sungai Anak Bukit di Taman Aman.
Kesemua sungai itu menunjukkan trend menaik.