Kepala air: 2 beranak terperangkap 5 jam atas bumbung
Noorazura Abdul Rahman[email protected]
OKU Nasarudin Rushdi, 26, bersama nenek dan ibunya kini ditempatkan di PPS SK Tanjung Pari. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Baling: Seorang ibu tunggal dan anaknya berstatus orang kurang upaya (OKU) terperangkap kira-kira lima jam di atas bumbung selepas rumah mereka di tepi sungai di Kampung Teluk Rambong di sini dilanda kepala air malam tadi.
Wanita dikenali sebagai Rodiah Baharom, 56, dan anak lelakinya, Nasarudin Rushdi, 26, diselamatkan jiran pada 3 pagi selepas terperangkap di atas bumbung sejak 9.30 malam.
Menantu mangsa, Nur Atikah Mansor, 27, berkata dia sangat bersyukur apabila ibu mentua dan adik iparnya yang juga OKU (fizikal terlantar) diselamatkan jiran dalam kejadian itu.
"Saya tinggal di rumah nenek yang terletak selang dua rumah saja dengan rumah mentua. Air naik terlalu cepat, tidak sampai 10 minit air sudah hampir satu meter.
"Mujur mereka diselamatkan jiran," katanya yang turut ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Pari.
Manakala seorang penduduk, Mohd Hamdan Abdul Rahim, 49, berkata dalam kejadian itu dia berada di rumah guru Al-Quran bagi menjemput anaknya yang mengaji di situ.
Katanya, dia dan tuan rumah menyedari rumah yang terletak kira-kira 10 meter mula dinaiki air.
"Saya bersama dua lagi penduduk yang berada di situ pergi ke rumah berdekatan sungai itu untuk membantu, namun tiada apa-apa yang dapat dilakukan berikutan air sudah melebihi satu meter.
"Kami terpaksa menunggu air surut sedikit dan menggunakan tangga bagi membawa turun dua beranak berkenaan," katanya.
Mohd Hamdan berkata, dia sendiri hanya dapat pulang ke rumahnya kira-kira jam 7 pagi tadi dengan menyeberangi sungai selepas jambatan yang menghubungkan rumah mereka musnah akibat kepala air.
Disiarkan pada: Oktober 1, 2024 @ 3:47pm https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/10/1139699/kepala-air-2-beranak-terperangkap-5-jam-atas-bumbung
|