Bayan Lepas: Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian langgar lari membabitkan kereta dengan penunggang motosikal di Bayan Baru di sini, Ahad lalu, diminta supaya tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.
Kejadian berkenaan turut tular di media sosial menerusi video rakaman dari kamera papan pemuka pengguna jalan raya.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, terdahulu video berdurasi 53 saat itu dikesan pihaknya pada jam 1.30 tengah hari yang dimuat naik oleh pemilik Akaun X @Update11111.
Katanya, mangsa turut membuat laporan polis jam 2.23 petang.
"Mangsa (penunggang motosikal) adalah wanita berusia 24 tahun dilanggar sebuah kereta di lampu isyarat berhampiran sebuah hospital swasta di Bayan Baru.
"Mangsa cedera di bahagian muka, belakang badan dan bahu serta patah gigi.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Terdahulu, video tular itu memaparkan kereta berwarna putih melanggar motosikal berhampiran lampu isyarat sebelum pemandu memecut kenderaannya selepas perlanggaran berkenaan.
Sementara itu, seorang wanita yang mendakwa sebagai ibu kepada mangsa turut memuat naik hantaran di Facebook mengenai kejadian menimpa anaknya.
Dia mendakwa pemandu kenderaan itu bertindak ke balai polis sejurus kejadian namun tidak turun daripada kenderaan dan mengunci pintu sebelum tidur.
Mengulas lanjut Kamarul Rizal berkata, kejadian itu masih dalam siasatan.
"Kita akan lakukan siasatan dalaman termasuk memanggil ibu mangsa bagi diambil keterangan mengenai dakwaan itu," katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat di talian 019-344 1817.