Georgetown: Pada usia lima tahun Siti Nur Aishah Abdul Rani, 20, pernah menjadi mangsa letupan mercun bola yang bukan saja menyebabkan dia terlantar di hospital selama tiga bulan malah menyebabkan mata kirinya mengalami buta kekal.
Pelajar baharu Universiti Sains Malaysia (USM) dari Kuala Mengkuang, Bukit Mertajam itu berkata gelaran Orang Kurang Upaya (OKU) yang terpaksa digalas selepas detik hitam berkenaan tidak menghalang dirinya untuk menempa kejayaan dalam bidang akademik.
"Kejadian itu berlaku waktu siang bulan Ramadan. Apa yang saya boleh katakan, saya tidak bermain mercun itu tetapi ia terpelanting ke arah saya sebelum meletup dan saya menyambut hari raya di hospital.
"Kesannya, sampai sekarang kalau saya membaca terlalu lama, mata saya akan terasa silau, pening kepala dan penglihatan menjadi kabur pernah terjadi saya hanya nampak sebahagian saja tulisan di papan putih ketika dalam kelas, separuhnya kabur.
"Tetapi Alhamdulillah saya bersyukur dalam keadaan sedemikian saya meraih purata nilai gred terkumpul (PNGK) 3.84 dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) lalu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Penuntut Ijazah Sarjana Muda Sastera Ilmu Kemanusiaan itu menambah, ibunya, Siti Kholijah Othman, 47, adalah ibu tunggal sejak pemergian bapanya pada 2012 dan menyara keluarga dengan berniaga pisang goreng.
Siti Nur Aishah berkata, selain berdepan masalah penglihatan dia turut diuji penyakit skoliasis atau tulang belakang bengkok sejak kira-kira lima tahun lalu selain pernah mengalami slip disc dipercayai akibat terjatuh.
"Ketika saya belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Perempuan) Al-Mashoor ada guru tegur keadaan badan saya yang nampak senget apabila berjalan atau duduk dan menasihati supaya melakukan pemeriksaan lanjut.
"Akibat penyakit skoliosis itu juga saya kerap mengalami sakit belakang tetapi saya tekad sambung belajar kalau boleh sampai peringkat tertinggi untuk mendapat pekerjaan baik dan membantu keluarga," katanya yang bercita-cita menjadi pendidik.
Terdahulu, seramai 4,807 calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi, Asasi, Diploma menerima tawaran mengikuti program Ijazah Sarjana Muda dan Diploma mendaftar sebagai pelajar baharu bagi sidang akademik 2024/2025 di USM, hari ini.