'Saya tak akan maafkan dia sampai bila-bila' - Anak Sabari
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Oktober 5, 2024 @ 10:49am [email protected]
Muhammad Amir Hakimi (kanan) bersama dua kakaknya, Suraiya Izzati (tengah) dan Nur Aina Sofiya menunjukkan gambar kenangan bersama bapa mereka, Sabari Baharom ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang. - Foto NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
BALING: Perbuatan kejam yang dilakukan suspek terhadap Sabari Baharom, 62, sehingga sanggup mencampak mangsa ke dalam sungai tidak akan dimaafkan oleh keluarga mangsa sampai bila-bila.
Anak bongsu Sabari, Muhammad Amir Hakimi, 25, berkata dia sudah melihat wajah suspek dan pernah berjumpa sebelum ini, namun tidak akan memaafkan lelaki itu.
Beliau juga berharap keadilan akan berpihak kepada mereka sekeluarga, malah akan melantik peguam ketika perbicaraan di mahkamah bagi memastikan suspek mendapat hukuman setimpal kerana memberi tekanan emosi kepada mereka sekeluarga.
"Apalah salah ayah saya kerana dia sudah berusia dan tidak mampu melawan kudrat suspek yang jauh lebih muda daripadanya.
"Saya tahu ayah tidak akan melawan jika diapa-apakan, malah ayah juga baik dengan dia tetapi dia sanggup buat macam tu pada ayah. Jadi saya tak akan maafkan dia sampai bila-bila walaupun dia mohon maaf sekali pun kerana ayah tiada gantinya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang, di sini hari ini.
Muhammad Amir Hakimi berkata, mereka sekeluarga juga sudah melakukan solat hajat dan bacaan Yasin termasuk di masjid supaya keadilan memihak pada keluarganya.
"Bukan kami saja hilang ayah, tetapi penduduk kampung juga terkejut dan sedih termasuk jemaah Masjid Al Mutmainnah, Kuala Pegang kerana ayah selalu ke masjid menunaikan solat lima waktu di situ.
"Sampai bila-bila pun saya serta dua kakak, Suraiya Izzati, 29, dan Nur Aina Sofiya, 28, akan ingat kejadian ini kerana kami hilang ayah, tempat kami menumpang kasih," katanya.
Beliau berkata, jika boleh dia tidak mahu teringat langsung wajah suspek kerana apabila mengingatinya akan membuatkan dirinya berasa geram.
"Ketika pihak polis minta saya buat pengecaman suspek sebelum ini, saya memang tidak mahu melihat lama mukanya sebab trauma apabila teringatkan orang yang bunuh bapa kita.
"Kalau boleh saya nak lupakan wajah dia walaupun dalam kepala saya masih ingat lagi muka dia membuatkan saya rasa dendam dengan dia," katanya.
Muhammad Amir Hakimi berkata, sepanjang sebulan ini dia hanya bermimpi sekali saja bapanya pulang ke rumah menaiki kereta Proton Waja yang musnah terbakar di Belantik, Sik iaitu selepas kejadian berkenaan berlaku.
Kronologi kehilangan Sabari. - Infografik BH
Media sebelum ini melaporkan, Sabari yang juga pesara pegawai kewangan FELCRA dilaporkan hilang pada 4 September lalu dan disedari oleh ahli keluarga selepas gagal menghubunginya sebelum membuat laporan polis.
Persoalan timbul apabila sebuah kereta Proton Waja yang ditemui hangus terbakar di Belantik, Sik dipercayai milik Sabari tetapi mangsa tiada di situ.
Bagaimanapun, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun pada 27 September lalu dan hasil siasatan mendapati, Sabari dipercayai dicampak di Sungai Padang Terap, Kampung Empa di Wang Tepus, Jitra selepas tangannya diikat dan mulutnya ditutup dengan pita pelekat.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1306877/saya-tak-akan-maafkan-dia-sampai-bila-bila-anak-sabari
|