Batu Kawan: Pulau Aman yang menjadi tarikan pelancongan di negeri ini kembali 'segar' apabila kebanyakan fasiliti dinaik taraf menerusi program Kampung Angkat Madani oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Dr Anesee Ibrahim berkata, JPA diberikan tanggungjawab untuk membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk Pulau Aman di mana sembilan projek fizikal dengan peruntukan RM2.32 juta dirancang.
"Setakat ini, kita telah menyiapkan tujuh daripada sembilan projek fizikal membabitkan projek membaik pulih tandas awam dan gelanggang permainan, menaik taraf pusat pengumpulan sampah dan jeti, membaik pulih longkang, pemasangan lampu jalan dan menaik taraf dewan serbaguna.
"Kesemua projek fizikal ini kita buat bersama penduduk menepati keperluan, apatah lagi kita dapati Pulau Aman ini berpotensi untuk menjadi pusat eko pelancongan.
"Pada masa sama, ia bertepatan dengan objektif untuk merapatkan jurang ekonomi dan infrastruktur supaya penduduk kampung mendapat manfaat serta kemudahan setara dengan apa yang penduduk bandar ada," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Fasiliti Awam Pulau Aman yang turut dihadiri Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain, di sini, hari ini.
Dalam program sama, JPA turut bekerjasama dengan Jabatan Perikanan dalam menganjurkan Program MyKP (Komuniti Perikanan).
Katanyam sebanyak 47 keluarga di Pulau Aman menerima manfaat dari segi sosioekonomi setempat melalui program yang dilaksanakan.
Pada Belanjawan 2024, Kementerian Kewangan memperuntukkan RM100 juta bagi menjayakan program Kampung Angkat Madani untuk dilaksanakan oleh semua kementerian dan jabatan termasuk JPA.