Jitra: "Ketika saya lahirkan Adam, berat dia 4.25 kilogram (kg) hingga doktor dan jururawat terkejut kerana menyangka berat anak saya 3.8kg sahaja," kata Rahimah Abdullah, 51.
Ibu kepada Muhammad
Adam Daniel Fadzil, 17, itu berkata, dia amat bersyukur kerana melahirkan anak bongsunya secara normal dan diberikan kesihatan yang baik dan kini menginjak usia 17 tahun.
Menurutnya, pada usia empat tahun, Adam sudah bertubuh tinggi seperti kanak-kanak berusia tujuh tahun.
"Saya tak ingat berat dia berapa kg ketika itu tapi mungkin lebih 20kg. Saya tak larat nak dukung dia kerana saiz fizikal Adam tak sama dengan kanak-kanak lain, ketika memasuki tahun 1, dia paling tinggi dan besar.
"Ada yang panggil dia 'galah' dan sebagainya, tapi Adam yang bagusnya tidak mudah berasa hati. Cuma dulu kalau hendak marah atau merajuk, dia akan guling-gulingkan badan di lantai, dia tidak akan ganggu orang lain," kata ibu kepada empat anak ini.
Bercerita lanjut, Rahimah berkata, anaknya sangat gemar makan nasi bersama lauk ayam, namun tidak pernah memilih makanan.
"Apa yang ada, dia akan makan. Tak kisah ikan, sayur-sayuran, ulam dan lain-lain," katanya.