Bukit Mertajam: Seorang pemandu lori didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memaki hamun seorang anggota polis dengan kata-kata kesat pada Ahad lalu.
Tertuduh, S Hari Ram, 37, turut diperintahkan dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan, tertuduh didakwa memaki hamun anggota polis dengan sengaja berkata-kata kesat.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi jalan bersebelahan perumahan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Baru, Perai, jam 4.20 petang, 6 Oktober lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Suhada Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh diarah oleh anggota polis untuk memberhentikan kenderaannya di tepi jalan kerana didapati melanggar lampu isyarat merah.
Namun tertuduh bertindak agresif dan mengeluarkan kata-kata hinaan serta provokasi selepas anggota polis mengeluarkan saman terhadapnya.