Sungai Petani: Polis mendapat perintah reman selama seminggu terhadap seorang kontraktor dan anak saudaranya bagi meneruskan siasatan berkaitan pembunuhan pegawai kewangan Felcra, Sabari Baharom, 62, bulan lalu.
Perintah reman terhadap suspek berusia 38 dan 26 tahun itu dikeluarkan Majistret Anis Suraya Ahmad di Kompleks Mahkamah Sungai Petani hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling.
Terdahulu, sebuah trak polis yang membawa suspek dengan kawalan ketat dilihat memasuki Kompleks Mahkamah Sungai Petani kira-kira jam 9.48 pagi.
Sebelum ini suspek yang ditahan pada 27 September direman di IPD Sik bagi siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan berhubung kes khianat bakar kereta.
Terdahulu media melaporkan Sabari dilaporkan hilang sejak 4 September lalu dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang, Baling.
Kehilangan mangsa disedari anak-anaknya selepas gagal menghubungi bapa mereka namun mengesyaki berlaku beberapa transaksi pengeluaran wang melalui akaun bank bapa mereka.
Laporan polis dibuat berhubung kejadian sebuah kereta Proton Waja milik mangsa ditemui hangus terbakar di Belantik, Sik namun Sabari tiada di situ.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh dilaporkan berkata, wajah suspek yang dicam oleh Sabari ketika disamun menjadi motif pembunuhan pesara Felcra itu pada awal September lalu.
Hasil soal siasat terhadap dua suspek itu mengaku mengikat tangan dan menutup mulut Sabari dengan pita pelekat sebelum dicampakkan ke dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa pada 4 September lalu bagi melupuskan bukti.