Edited by sfhzuraz at 11-10-2024 03:31 PM
Gangguan air SADA, penduduk terpaksa guna air telaga keruh
OlehROSHILA MURNI ROSLI
11 Oktober 2024 02:18pm
Mohd Nabil menunjukkan tong air yang mengandungi air telaga keruh yang disedut naik melalui paip.
KUBANG PASU - Segelintir penduduk di Kampung Kubang Lintah, Tunjang di sini terpaksa menggunakan air telaga yang keruh untuk urusan seharian mereka akibat gangguan bekalan air Syarikat Air Darul Aman (SADA).
Seorang penduduk, Aliassaak Md Isa, 42, berkata, dia terpaksa mengorek telaga di belakang rumahnya sejak dua tahun lalu apabila masalah air terbabit membelenggu kehidupan mereka sekeluarga.
]
Aliassaak menunjukkan telaga yang dikorek kira-kira dua tahun lalu di rumahnya.
"Bekalan air paip di rumah saya ni kalau hari siang memang tak ada langsung, waktu malam ada la tapi perlahan saja.
"Air telaga pula kalau hari hujan tak boleh guna langsung, hari biasa masih boleh guna tapi kena letak tawas untuk jernihkan air," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Jumaat.
Menurutnya, hanya beberapa buah rumah di kampung terbabit yang terletak di kawasan lebih tinggi terlibat dengan masalah berkenaan.
]
Aliassaak membuka paip air di rumahnya yang tidak mengalirkan air pada waktu siang.
"Rumah penduduk yang hampir dengan Bukit Tunjang saja ada masalah gangguan ni. Rumah yang dekat dengan jalan raya laju pula air paip mereka.
"Saya tak pasti sebab tekanan atau ada paip yang tersumbat. Saya dah kerap kali buat aduan kat SADA, tapi tiada maklum balas," katanya.
Seorang pelajar, Mohd Nabil Isa,16, berkata, dia dan tiga lagi adiknya terpaksa mandi air telaga yang keruh setiap pagi untuk ke sekolah.
"Ayah saya buat paip sedut naik air telaga dalam tong besar sebelum disalurkan ke dalam rumah.
"Jadi air tu kami guna untuk mandi dan membasuh. Kalau untuk minum kami terpaksa bawa botol pi ambil air paip di Masjid Haji Ismail," katanya.
Menurutnya, mereka sekeluarga kadang kala akan menghubungi SADA untuk memohon penghantaran bekalan air bersih ke rumah.
"Cuma SADA akan ambil masa beberapa hari untuk hantar selepas dihubungi, jadi kami terpaksa guna air yang ada dulu," katanya.
Mohd Wazi Abd Wahab, 52, pula berkata, sebelum ini di rumahnya hanya akan ada bekalan air paip pada waktu malam.
Air dari paip utama di rumah Mohd Wazi yang mengalir perlahan menyebabkan bekalan air tidak sampai ke dalam rumahnya.
"Tetapi sekarang ini malam pun tak ada.Waktu siang pula setakat paip di luar rumah sahaja, air tak masuk sampai dalam rumah.
"Saya pernah buka paip yang dekat dengan meter air, memang kat situ boleh nampak air halus saja keluar. Macam mana air nak masuk dalam rumah kalau kat situ pun perlahan," katanya.
Sementara itu, isteri Mohd Wazi, Mashitoh Abdul Ghani, 47, berkata, dia agak tertekan dengan masalah terbabit kerana perlu menguruskan ibunya, Manis Ismail, 82, yang sakit tua.
]
Mashitoh membasuh pinggan mangkuk kotor yang berlungguk di luar rumahnya.
"Saya rasa stress sangat, sebab ada orang tua yang sakit, nak mandi dia pun susah bila air paip dalam rumah tak ada.
"Banyak urusan rumahtangga jadi tergendala. Pakaian kami pun kena himpun dulu untuk basuh di dobi," katanya.
Jelasnya, apabila hari hujan, dia akan menadah air hujan untuk membasuh pinggan mangkuk.
"Kadang-kadang rasa macam hidup zaman dahulu pula. Basuh pinggan pun kena kat luar, kadang-kadang pinggan mangkuk pun berlungguk tak terbasuh sebab tunggu air," katanya.
https://www.sinarharian.com.my/article/690398/edisi/utara/gangguan-air-sada-penduduk-terpaksa-guna-air-telaga-keruh
|