Abang masih harap jasad Sabari ditemui, tak teringin pun lihat wajah 2 suspek
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Oktober 17, 2024 @ 10:50am [email protected]
Ismail Baharom, 69, abang kepada arwah Sabari ketika hadir ke kompleks mahkamah Kubang Pasu hari ini. - NSTP/ WAN NABIL NASIR
JITRA: Ahli keluarga Sabari Baharom, 62, tidak pernah berhenti berharap dan terus menaruh harapan untuk melihat jasad arwah pesara pegawai kewangan FELCRA itu dapat ditemui, sekali gus pembelaan sewajarnya dapat ditegakkan segera.
Abangnya, Ismail Baharom, 69, berkata selepas operasi pencarian adiknya ditamatkan pada 3 Oktober lalu, dia tetap datang ke jambatan Sungai Padang Terap di Kampung Empa, dekat Wang Tepus di sini, untuk meninjau sungai berkenaan.
Malah, dia sendiri tidak dapat menghitung berapa kali sudah dia menadah tangan sambil memanjatkan doa di jambatan itu memohon supaya jasad adiknya itu ditemui.
"Saya meminta sesiapa yang menemui jasad adik saya tidak kira apa cara sekali pun, bolehlah memaklumkan kepada polis.
"Saya masih pergi ke jambatan itu, manalah tahu ada maklumat terkini mengenai arwah yang boleh ditemui.
"Jambatan itu memang tempat saya meronda sebelum ini kerana ia tidak jauh dari rumah di Jalan Datuk Kumbar di Alor Setar," katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Jitra, di sini hari ini.
Terdahulu, Ismail hadir ke kompleks mahkamah di Kubang Pasu, di sini seawal jam 8 pagi untuk menemani anak saudaranya yang juga anak arwah, Suraiya Izzati, 29, dan suami untuk mengikuti proses pendakwaan terhadap kedua-dua suspek.
Namun katanya, dia tidak terniat langsung untuk melihat wajah dua suspek terbabit.
"Kalau boleh memang tak mahu tengok muka mereka, biarlah keadilan mahkamah yang tentukan.
"Saya bagi pihak keluarga mangsa lega apabila suspek dituduh hari ini dan kami akan menunggu keputusan lanjut mahkamah," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, dua suspek yang disyaki terbabit dalam kes bunuh Sabari tiba di Mahkamah Majistret Kubang Pasu di sini, hari ini, untuk didakwa.
Kedua-dua suspek berusia 26 dan 38 tahun dijangka berhadapan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1311969/abang-masih-harap-jasad-sabari-ditemui-tak-teringin-pun-lihat-wajah
|