Bersih sungai di Baling persiapan hadapi air pasang besar mulai esok
Oleh Noorazura Abdul Rahman - Oktober 17, 2024 @ 11:39am [email protected]
Kerja-kerja pembersihan Sungai Ketil di Kampung Batu 48 sedang dilakukan bagi melancarkan aliran sungai sebagai persediaan menghadapi air pasang besar bermula esok. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman
BALING: Kerja-kerja pembersihan Sungai Ketil mula dilakukan sejak petang kelmarin sebagai persediaan menghadapi fenomena air pasang selama tiga hari bermula esok.
Penguasa Bomba Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Sofi Abdul Wahab, berkata, aktiviti gotong-royong itu turut membabitkan agensi kerajaan seperti bomba selaku sekretariat penyelaras, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Majlis Daerah Baling, dan Pejabat Penghulu serta penduduk kampung.
Katanya, kerja-kerja pembersihan itu membabitkan dua fasa bagi melancarkan aliran air dan mencegah banjir kilat.
"Fasa pertama merangkumi kawasan dari Kampung Lahar sehingga Kampung Seberang Pekan, manakala fasa kedua dari Lubuk Pedati hingga Kampung Limau dan Charok Sikin.
"Kerja-kerja pembersihan termasuk pemotongan pokok yang menghalang aliran air sungai serta sampah yang melekat di tiang-tiang jambatan," katanya ketika ditemui di di Kampung Batu 48 di sini, semalam.
Menurutnya, beberapa kampung berisiko menghadapi banjir kilat termasuk Kampung Lahar, Kampung Batu 48, Kampung Haji Abbas, Kampung Pulai, Sungai Limau, Tanjung Merbau, Charok Sikin, Charok Bemban, dan Kampung Sirako.
Pada Ahad lalu, beberapa kampung di daerah ini dilanda banjir beberapa kali termasuk memusnahkan sebuah rumah penduduk di Kampung Teluk Rambong akibat banjir puing.
Terdahulu, media melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengenal pasti 114 kawasan 'hotspot' di 11 daerah mengalami fenomena air pasang besar antara 18 hingga 21 Oktober ini berdasarkan Jadual Pasang Surut Malaysia 2024.
Pengarahnya, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang, berkata kawasan 'hotspot' terbanyak adalah di Baling iaitu sebanyak 46 kawasan diikuti 14 di Langkawi, 12 di Bandar Baharu dan 10 di Kuala Muda.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1312007/bersih-sungai-di-baling-persiapan-hadapi-air-pasang-besar-mulai-esok
|