Lelaki bergegas ke farmasi cedera terjatuh longkang
Oleh Aizat Sharif - Oktober 18, 2024 @ 1:17pm [email protected]
Anggota APM sedang berusaha menyelamatkan seorang lelaki yang terjatuh dalam longkang monsun ketika berjalan menuju ke sebuah farmasi di Jalan Syed Saffi berhampiran Taman Emas Jaya, Bintong di Kangar. - Foto NSTP/ihsan APM Perlis
KANGAR: Seorang lelaki cedera di kaki dan tangan selepas terjatuh dalam longkang ketika bergegas ke sebuah farmasi di sini semalam.
Mangsa berusia 37 tahun berjalan di kaki lima Jalan Raja Syed Saffi di Taman Emas Jaya, Bintong jam 10.07 malam.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Perlis, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud, berkata mangsa yang bergegas menuju farmasi itu tiba-tiba terjatuh ke dalam longkang yang tiada penutup besi dipercayai hilang.
"Mangsa dipercayai tidak perasan terdapat lubang pada longkang berkenaan disebabkan terlalu memandang ke arah farmasi yang sudah ditutup itu.
"Kami menerima panggilan kecemasan untuk membantu menyelamatkan mangsa yang gagal memanjat keluar dari longkang monsun berkenaan.
"Lima anggota APM tiba di tempat kejadian sekitar jam 10.13 malam dan berjaya membawa keluar mangsa dari dalam longkang monsun berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, mangsa dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk menerima rawatan lanjut.
"Mangsa mengalami cedera pada kaki dan tangan dan sudah dihantar ke HTF untuk menerima rawatan lanjut," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/10/1312505/lelaki-bergegas-ke-farmasi-cedera-terjatuh-longkang
|